
Olah surat khabar jadi bahan pembelajaran menyeronokkan
Seramai 120 murid dari 30 sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia menyertai Bengkel Buku Akhbar dan Majalah (AKHMA) sebagai inisiatif menanam minat membaca.
Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2), Nurafidah Khalid berkata, surat khabar diberikan keutamaan kerana ia merupakan sumber yang lebih mudah didapati berbanding majalah.
“Menerusi pendekatan baharu dan lebih mesra ini, inisiatif memanfaatkan surat khabar lama sebagai bahan pembelajaran bertujuan membuatkan murid berasa seronok untuk membaca.
“Secara tidak langsung, ia menanam minat kepada pembaca terutama murid sekolah sekali gus membuktikan akhbar tidak dipinggirkan walaupun kini sudah berada dalam dunia digital.
“Saya juga yakin bahan daripada surat khabar memberi info yang terkini, sahih dan tepat,” katanya yang juga Guru Perpustakaan dan Media sekolah itu.
Bengkel anjuran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) tersebut dilaksanakan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain menyampaikan taklimat, Nurafidah memaklumkan bahawa aktiviti menyediakan buku skrap mengikut kreativiti pelajar juga diadakan.
“Gaya hidup anak-anak kini sangat berbeza, mereka lebih suka membaca bentuk yang ringkas. Jadi, akhbar merupakan medium yang sangat baik untuk kita pupuk minat membaca itu.
“Jadi, sambil mereka potong keratan akhbar, tanpa sedar masa itu turut digunakan untuk membaca. Ini yang kita nak terapkan,” katanya.
Sebelum ini, Pusat Sumber Az-Zarnuji SMK Putrajaya Presint 9 (2) menjalankan projek kreatif, mengumpul keratan akhbar untuk dijadikan buku skrap mengikut tema serta topik tertentu.