Peranan ECRL dalam transformasi ekonomi Malaysia
Pada era moden ini, infrastruktur Malaysia terus berkembang dengan pesat selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan pembangunan negara yang semakin maju.
Komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur pengangkutan menjadi fokus utama untuk memastikan Malaysia sejajar dengan negara-negara maju.
Selain pembinaan jalan raya, lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam moden seperti transit aliran ringan (LRT), kereta api laju serta projek mega terkini seperti East Coast Rail Link (ECRL).
Pembangunan infrastruktur ini tidak hanya memenuhi keperluan asas, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Projek East Coast Rail Link (ECRL) diperkenalkan pada era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan tujuan meningkatkan kesalinghubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat, merapatkan jurang pembangunan wilayah dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Ia juga bertujuan menyokong sektor logistik, pelancongan dan perniagaan tempatan di kawasan sepanjang laluannya.
Menurut Kementerian pengangkutan iaitu Anthony Loke Siew Fook ketika ini, anggaran kos awal ECRL sebanyak RM50 bilion yang dibiayai melalui kerjasama dengan China Exim Bank dan dilaksanakan oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) bersama China Communications Construction Company (CCCC).
East Coast Rail Link (ECRL) merupakan projek infrastruktur pengangkutan mega yang dirancang untuk menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Laluan sejauh 665 Kilometer ini merangkumi beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor yang bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Projek ini bukan sekadar menyediakan sistem pengangkutan yang lebih moden, tetapi juga bertindak sebagai pemangkin kepada pelbagai sektor strategik yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Infrastruktur ECRL berperanan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Malaysia.
Laluan rel ini menghubungkan kawasan-kawasan strategik seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor yang sebelum ini menghadapi cabaran dalam aksesibiliti akibat jarak yang jauh dan sistem pengangkutan yang terhad.
Dengan adanya ECRL, perjalanan antara kedua-dua wilayah menjadi lebih cepat, efisien dan kos efektif. Hal ini memudahkan pergerakan barangan, perkhidmatan dan tenaga kerja, sekaligus menjadikan kawasan luar bandar lebih mudah diakses dan menarik pelaburan.
Selain itu, ECRL juga dapat mengurangkan beban jalan raya Ia membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang sering sesak terutama pada musim perayaan.
Tambahan lagi, penggunaan pengangkutan rel juga dapat meminimumkan risiko kemalangan yang sering berlaku di jalan raya yang sibuk.
Dari segi kelestarian, pengangkutan rel lebih mesra alam kerana ia menghasilkan pencemaran karbon yang lebih rendah berbanding penggunaan kenderaan persendirian.
Projek East Coast Rail Link (ECRL) memberikan kesan yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyumbang kepada pelbagai sektor strategik dan memacu pembangunan menyeluruh di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, ECRL bertindak sebagai pemangkin utama untuk menarik pelaburan domestik dan asing, khususnya di kawasan sepanjang laluan rel.
Melalui peningkatan kesalinghubungan dan pengurangan kos logistik, kawasan Pantai Timur menjadi lebih kompetitif dan menarik bagi pelabur yang ingin memanfaatkan kos operasi yang lebih rendah berbanding Pantai Barat.
Tambahan pula, infrastruktur ini membuka peluang kepada syarikat multinasional dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan perdagangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab operasi utama.
Peningkatan pelaburan ini secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Projek ECRL memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, yang sebelum ini mengalami ketidakseimbangan ekonomi.
Dengan menyediakan laluan darat yang pantas dan cekap, ECRL menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan pusat ekonomi utama seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang.
Kesalinghubungan ini membuka peluang kepada Pantai Timur untuk lebih aktif dalam ekonomi nasional dengan memanfaatkan sumber ekonomi tempatan seperti hasil tani, sektor pelancongan dan industri kecil.
Laluan ECRL juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, sekali gus membantu mengurangkan jurang pembangunan antara dua wilayah yang sebelum ini terpisah oleh kekangan geografi dan kekurangan infrastruktur.
ECRL juga dapat merancakkan ekonomi tempatan melalui pembangunan industri pelancongan. Kemudahan pengangkutan ini memudahkan pelancong mengunjungi destinasi menarik di Pantai Timur seperti pantai, pulau dan tasik di Terengganu dan Pahang serta warisan budaya Kelantan seperti seni batik dan makanan tradisional.
Dengan akses yang lebih cekap dan pantas, jumlah pelawat ke kawasan tersebut dijangka meningkat, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan aktiviti pelancongan.
Perkembangan ini merangsang ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu dan perkembangan perniagaan kecil seperti homestay, restoran serta kraftangan.
Melalui inisiatif ini, ECRL berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi sambil mentransformasikan kawasan terpencil menjadi hab ekonomi baharu.
Pembangunan kawasan luar bandar seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat dirancakkan daripada pembinaan ECRL ini.
Ini kerana Ia membuka peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembinaan, operasi rel serta industri sokongan seperti perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Usaha ini dapat memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif di seluruh negara.
Selain itu, ECRL memudahkan pergerakan tenaga kerja antara Pantai Timur dan Pantai Barat, membolehkan lebih ramai individu mengakses peluang pekerjaan di kawasan yang lebih berpotensi.
Ini bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran di kawasan luar bandar, tetapi juga meningkatkan produktiviti tenaga kerja secara keseluruhan.
Mobiliti tenaga kerja ini turut menyokong perkembangan industri yang memerlukan tenaga kerja mahir dan separa mahir, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Akhir sekali, ECRL mengukuhkan sektor logistik Malaysia dengan menyediakan laluan pengangkutan yang lebih cekap untuk barangan dan perkhidmatan.
Dengan penghubung antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang, proses eksport dan import dipercepatkan menjadikan rantaian bekalan lebih efisien dan berdaya saing di peringkat serantau.
Kecekapan ini meningkatkan daya saing produk Malaysia di pasaran global dan memberi sumbangan kepada pertumbuhan sektor perdagangan, yang merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Secara keseluruhannya, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, tetapi juga satu pelaburan strategik yang memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Dengan membuka peluang baru dalam pelaburan, perdagangan dan pembangunan wilayah, ECRL menyumbang kepada agenda pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
Maklumat penulis:
1)Mahasiswa tahun akhir (Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan
kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia
Terengganu, Siti Nur Basirah Jamaludin.
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Dr Jaharudin Padli.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my