MTNP telah menghantar markah kepada KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah yang dikeluarkan oleh kementerian.
MTNP telah menghantar markah kepada KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah yang dikeluarkan oleh kementerian.

PAJSK: Maahad Tahfiz Negeri Pahang patuhi garis panduan KPM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
05 Jul 2024 01:13pm

Bagi merungkai segala isu berkaitan pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), pihak Maahad Tahfiz Negeri Pahang tampil menjelaskan perkara sebenar menerusi kenyataan media mereka pada Khamis.

Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) memaklumkan, pihaknya telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah PAJSK seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ini termasuk menghantar markah kepada KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah sebagaimana arahan dalam surat-surat KPM yang dikeluarkan kepada MTNP.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda, pihak maahad telah mengambil langkah segera iaitu berhubung terus dengan KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), asasi universiti-universiti dan badan-badan penaja untuk menangani isu tular itu.

“Kami telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak yang berkenaan.

“Ribuan terima kasih diucapkan atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan terhadap perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, viral hantaran di akaun Facebook yang memaparkan tajuk ‘Rezeki Tertangguh Berjemaah’ oleh seorang wanita yang dikatakan ibu kepada pelajar dari sekolah tahfiz berkenaan.

Hantaran itu mendakwa, anaknya gagal mendapat pilihan pertama UPUOnline menerusi permohonan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Memetik sedikit perkongsian beliau di Facebook, sebelum hantaran itu tiba-tiba ‘hilang’, anaknya telah mendapat keputusan cemerlang straight A dengan merit 98.5.

"Tertanya-tanya kenapa hampir 90 peratus anak-anak sekolah terbaik Malaysia tidak berjaya menempatkan diri mereka ke institusi pilihan pertama sedangkan merit mereka sangat hebat.

"Anak saya, meritnya mengikut kiraan kami 98.5 ditawarkan pilihan ketiga," tulis ibu itu.

Catatnya lagi, kegagalan si anak mendapat pilihan pertama adalah disebabkan markah PAJSKnya kosong.

"Rupa-rupanya semua anak-anak sekolah terbaik Malaysia kosong markah PAJSK mereka. Kosong! Semua!

"Apabila markah kosong implikasinya besar kerana daripada merit 98.5, hanya tinggal 90 sedangkan ini faktor yang mempengaruhi peluang mereka ke universiti pilihan. Mereka dinilai dengan dua aspek berkenaan keputusan peperiksaan SPM dan markah PAJSK,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, MTNP disenaraikan antara 20 sekolah terbaik di Malaysia dalam peperiksaan SPM 2023 mengikut Gred Purata Sekolah (GPS).

Difahamkan, GPS bagi maahad ini adalah 1.070.

Turut mengisi kelompok sekolah terbaik SPM 2023 ialah Sekolah Alam Shah Putrajaya (1.073), Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan (1.248), Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) Negeri Sembilan (1.255), Kolej Yayasan Saad, Melaka (1.257) dan Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) (1.278).

Untuk mengesahkan adakah kesemua sekolah ini adalah yang terbaik, Sinar Bestari mencari kesahihan maklumat dan berdasarkan daripada sumber dipercayai, KPM memaklumkan yang pihaknya tidak mengeluarkan sebarang ranking sekolah.

“Sumber ini saya tidak pasti dari mana,” kata kenyataan itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp