Fadhlina
Fadhlina

PAJSK sumbang 10 peratus merit ke IPTA

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Jul 2024 11:49am

Skor Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) memainkan peranan penting dalam menentukan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Ia kerana, skor PAJSK itu menyumbang 10 peratus dalam merit kemasukan ke IPTA, yang digunakan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk menentukan tawaran tempat berdasarkan merit.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kepentingan skor PAJSK tidak boleh dipandang remeh oleh pihak berkaitan di negara ini.

“PAJSK memberikan gambaran menyeluruh tentang pencapaian dan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum, sukan dan jasmani.

“Ia bukan sahaja membantu dalam menilai prestasi akademik pelajar tetapi juga dalam menilai kemahiran dan sikap mereka yang relevan dengan kehidupan seharian dan pembangunan holistik.

“Selain itu, PAJSK juga relevan untuk permohonan kemasukan ke SBP di mana pelajar yang aktif dan cemerlang dalam aktiviti kokurikulum mempunyai peluang lebih tinggi untuk diterima,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sambung beliau, apa yang dilakukan KPM kini adalah sebahagian usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.

Artikel Berkaitan:

“Dengan penekanan pada skor PAJSK, kita memastikan bahawa setiap pelajar dinilai secara adil dan menyeluruh serta memberi mereka peluang yang lebih baik untuk meneruskan pendidikan di institusi terbaik.

“KPM komited untuk terus memperkasakan sistem penilaian ini demi masa depan pendidikan lebih cemerlang,” ujarnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp