Pasukan Lensa Citra SMK Sungai Kapar Indah, Klang berjaya meraih tempat pertama dalam Vlog Battle 2026 @Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.
Pasukan Lensa Citra SMK Sungai Kapar Indah, Klang berjaya meraih tempat pertama dalam Vlog Battle 2026 @Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.

Pasukan Lensa Citra SMK Sungai Kapar muncul juara Vlog Battle 2026!

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
02 Feb 2026 11:49am

Dua jam mungkin lama bagi sesetengah orang, namun buat peserta Vlog Battle 2026 @Alamanda Shopping Centre, tempoh itu menjadi medan sebenar menguji kekuatan mental, kreativiti dan semangat berpasukan mereka.

Dalam kesibukan merancang konsep, sudut rakaman terbaik dan suntingan video, setiap detik begitu berharga.

Ada yang berlari dari satu lokasi ke lokasi lain, tidak kurang pula tekun menyusun skrip termasuk perbincangan hangat demi memastikan hasil akhir benar-benar memukau.

Muhammad Iskandar Shafwan (dua dari kanan) dan pasukan memulakan suntingan video dengan bimbingan guru.
Muhammad Iskandar Shafwan (dua dari kanan) dan pasukan memulakan suntingan video dengan bimbingan guru.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Muhammad Iskandar Shafwan Nor Aznam, 17, tekanan masa yang terhad mencetuskan perbezaan pendapat dan ketegangan, namun situasi itu sebenarnya mematangkan ahli pasukan.

"Dengan tugasan beginilah kami belajar kawal emosi, bertolak ansur dan mendengar idea rakan sepasukan sebelum membuat keputusan bersama.

"Cikgu-cikgu pun ada sekali bersama sewaktu tugasan dilaksanakan, jadi cadangan dan dorongan mereka sedikit sebanyak membantu menyuntik elemen wow dalam vlog yang dihasilkan," katanya kepada Sinar Bestari.

Pertandingan itu telah dimenangi oleh pasukan Lensa Citra SMK Sungai Kapar Indah diikuti pasukan The Tremendous Trio dan The Fantastic Crew masing-masing dari Sekolah Rendah (SK) Abdul Samat, Klang.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Iskandar Shafwan mengemukakan pendapat kepada guru-guru pengiring untuk mendapatkan hasil video yang kemas.
Muhammad Iskandar Shafwan mengemukakan pendapat kepada guru-guru pengiring untuk mendapatkan hasil video yang kemas.

Terima pandangan

Sikap menerima pandangan orang lain antara kekuatan utama pasukan sepanjang Vlog Battle 2026 @Alamanda Shopping Centre itu.

Guru pengiring, Rafizah Zainuddin memuji kematangan setiap ahli kumpulan yang sentiasa bersedia mendengar cadangan rakan sebelum membuat keputusan, biarpun dihimpit rasa cemas tempoh pertandingan berbaki lagi beberapa minit.

Menurutnya, perbezaan idea bukanlah punca perbalahan besar, sebaliknya dimanfaatkan untuk hasil kerja lebih kreatif dan menarik.

Pasukan Lensa Citra berbincang bersama-sama terlebih dahulu sebelum memulakan susunan video.
Pasukan Lensa Citra berbincang bersama-sama terlebih dahulu sebelum memulakan susunan video.

"Semangat saling melengkapi itulah yang mencerminkan kerjasama sebenar dalam sesebuah pasukan.

"Setiap ahli memainkan peranan sama ada di hadapan kamera mahupun di belakang tabir," katanya.

Jelaslah pendekatan positif itu membantu pasukan Lensa Citra SMK Sungai Kapar Indah menghasilkan vlog berkualiti.

Ringkasan AI

  • Peserta Vlog Battle 2026 @Alamanda Shopping Centre menguji kekuatan mental, kreativiti dan semangat berpasukan dalam masa dua jam
  • Setiap saat dalam pertandingan digunakan dengan sebaik mungkin untuk merancang, merakam dan menyunting vlog
  • Tekanan masa menyebabkan perbezaan pendapat dan ketegangan dalam pasukan, namun ia juga mematangkan ahli pasukan
  • Pasukan Lensa Citra SMK Sungai Kapar Indah memenangi pertandingan, dengan The Tremendous Trio dan The Fantastic Crew menduduki tempat kedua dan ketiga
  • Sikap menerima pandangan dan kerjasama dalam pasukan menjadi faktor utama kejayaan, membantu menghasilkan kerja kreatif dan berkualiti
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp