PdPR hanya dilaksana apabila sekolah ditutup dan bacaan IPU melebihi 200 - Fadhlina
Susulan situasi jerebu yang tidak menentu ketika ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan yang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya akan dilaksanakan apabila sekolah ditutup dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.
Oleh itu, beliau meminta pihak sekolah sentiasa memantau bacaan IPU sebelum membuat sebarang tindakan.
"Pantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan patuhi garis panduan serta arahan yang berkaitan dengan keselamatan cuaca...kita sudah ada pengalaman ini dan kita teruskan sahaja, tiada masalah," kata Fadhlina.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kali Ketiga Mengenai Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan (ICELAM) di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands, Pahang pada Selasa.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan 10 garis panduan kepada semua institut pendidikan di bawahnya bagi menghadapi fenemona jerebu ketika ini.
Antara garis panduan yang disediakan KPM itu adalah merangkumi;
- Jika bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid. Disarankan aktiviti keramaian atau sukan luar bangunan juga ditangguhkan.
- Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup serta-merta.
- Pengetua atau guru besar hendaklah memastikan guru membuat tugasan sewajarnya di sekolah semasa sekolah ditutup jika guru tidak diberi cuti selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Bil.8/2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.