
Pelajar berhenti sekolah akibat dibuli ditawar sambung pengajian di GiatMARA Muar
Seorang pelajar perempuan yang terpaksa berhenti sekolah akibat dibuli secara mental dan fizikal mendapat perhatian apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) tampil menawarkan peluang kedua kepadanya untuk meneruskan pelajaran di GiatMARA Muar.
Khabar gembira itu dikongsikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Beliau menambah, GiatMARA akan menanggung semua kos pengajian termasuk elaun bulanan dan keperluan asas, serta bantuan penginapan yang akan diuruskan oleh rakan-rakan Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) Daerah Ledang.
"Sebaik kisahnya sampai kepada saya, sahabat saya, Saudara Arif Wagiman, Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang segera menghubungi saya untuk mencari jalan membantu anak ini yang sudah putus semangat untuk bersekolah.
"Alhamdulillah, hasil koordinasi bersama GiatMARA Johor dan pemimpin komuniti setempat, Mara akan menawarkan tempat pengajian kepada adik Syafiqah di GiatMARA Muar dalam bidang Kulinari, bidang yang memang menjadi minat dan kecenderungannya sejak kecil," katanya.
Terdahulu, kisah Syafikah tular di media sosial selepas dikongsi oleh pemilik akaun Facebook, Afiq Noordin, yang mendedahkan penderitaan remaja itu dibuli secara mental dan fizikal hingga hilang keyakinan diri untuk meneruskan pelajaran.
Berdasarkan hantaran tersebut, anak kedua daripada tiga beradik itu membantu ibunya berniaga sarapan pagi di warung kecil di Pekan Tangkak sejak kecil.
Hantaran itu turut memaklumkan bahawa bapa Syafikah pula ditimpa musibah penyakit sehingga kehilangan sebelah kaki dan keluarga itu hanya bergantung kepada pendapatan harian warung tersebut untuk meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa isu buli bukan perkara kecil dan bukan sesuatu yang normal kerana ia boleh meragut keyakinan, mematahkan semangat dan menghancurkan masa depan seorang anak bangsa.
"Kita perlu berani menolak budaya ini dan melindungi anak-anak yang menjadi mangsa. Kisah adik Syafikah ini mengingatkan kita bahawa setiap anak berhak diberi peluang kedua.
"Hari ini mungkin dia mangsa, tetapi dengan sokongan dan kasih masyarakat, insya-ALLAH dia akan bangkit sebagai insan yang berjaya dan menjadi inspirasi buat orang lain," ujarnya lagi.
Justeru, beliau bersyukur kerana sinergi antara pemimpin komuniti setempat dan pihak GiatMARA Johor dapat membantu Syafikah untuk memperoleh kembali harapan dalam meneruskan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ringkasan AI
- Seorang pelajar perempuan berhenti sekolah akibat dibuli kini dapat peluang kedua dari MARA untuk belajar di GiatMARA Muar dalam bidang Kulinari
- MARA akan menanggung semua kos pengajian termasuk elaun bulanan dan keperluan asas serta penginapan
- Kisah Syafikah menjadi tular di media sosial yang memaparkan penderitaannya dibuli secara mental dan fizikal
- Keluarga Syafikah bergantung kepada pendapatan harian dari warung sarapan pagi yang diusahakan bersama ibunya
- Asyraf Wajdi menekankan bahawa isu buli bukan perkara kecil dan setiap anak berhak diberi peluang kedua
