Fadhlina
Fadhlina

Pelajar bunuh ibu, abang: KPM serah siasatan kepada pihak berkuasa

14 Jun 2025 10:09pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian tragik di Melaka yang melibatkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dipercayai terlibat dalam kematian ibu dan abangnya Khamis lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian pada masa ini memberi fokus untuk menyalurkan sokongan kepada seorang lagi mangsa yang cedera, selain memberikan ruang sepenuhnya kepada keluarga mangsa untuk melalui detik sukar tersebut.

"Tragedi ini memang menyayat hati dan siasatan masih diteruskan. Kita di peringkat KPM melaksanakan program sokongan kepada seorang lagi anak mangsa yang masih hidup dan cedera dan siasatan itu kita serahkan kepada pihak berkuasa.

"Cuma saya ambil pendekatan begini, kita melihat bahawa begitu banyak spekulasi berlaku ketika ini. Saya rasa kita perlu beri masa kepada keluarga kerana isu ini sangat menyayat hati dan tidak disangka oleh sesiapa pun.

"Jadi beri ruang kepada keluarga untuk melaksanakan semua proses terlebih dahulu, termasuk siasatan oleh pihak berkuasa dan kita akan pantau dari semasa ke semasa berkaitan kebajikan keseluruhan keluarga ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pendidikan Advokasi Kemiskinan Haid di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali, Ranau, Sabah pada Sabtu.

Fadhlina sebelum itu diminta mengulas mengenai seorang pelajar Tingkatan Lima yang kini direman susulan insiden pembunuhan tersebut.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan semua calon SPM agar terus memberi tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung termasuk memastikan kesihatan dan emosi berada dalam keadaan baik.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mohon ibu bapa untuk memastikan anak-anak ini sihat secara fizikal dan mental, mendapat rehat yang cukup serta sokongan emosi yang baik.

"Saya pasti mereka telah membuat persiapan yang baik dan kita harap ibu bapa serta masyarakat dapat terus menyokong mereka," katanya.

Dalam majlis berasingan, Fadhlina turut merasmikan Sekolah Model Komprehensif 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar di sini, yang menempatkan pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga di bawah satu bumbung.

"Sekolah model K9 ini kini diperluas secara besar-besaran apabila kita melihat semula matlamat asas pendidikan iaitu memastikan akses yang lebih luas.

"Tadi saya sempat bertemu dengan komuniti dan ibu bapa yang menyatakan rasa gembira kerana wujud sebuah sekolah yang menempatkan anak-anak mereka daripada pendidikan awal hingga ke peringkat menengah.

"Mudah-mudahan kita dapat selaraskan lagi serta memastikan fasiliti yang lebih kondusif untuk anak-anak khususnya di Sabah ini," katanya.

WARTAWAN: ASYIKIN ASMIN 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp