Pelajar di kampus terbeban, mohon perhatian pihak bertanggungjawab
MELAKA: Sekumpulan pelajar sebuah institusi pendidikan di Melaka baru-baru ini meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan kampus institusi tersebut.
Melalui Twitter akaun Pedoqpop, para pelajar tidak berpuas hati dengan peraturan yang dikatakan ditetapkan oleh pihak pengurusan kampus bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Pelajar mendakwa mereka dilarang memesan makanan dari luar kampus melainkan pesanan makanan segera. Malah ibu bapa juga dilarang untuk menghantar makanan.
Selain itu, kualiti dan harga makanan yang dijual di kafe juga menjadi isu apabila harga tidak setimpal dengan makanan.
“Kami tidak mempunyai pilihan yang banyak untuk makan, jadi kami membeli makanan di kafe tetapi harga yang melampau dan tidak berbaloi membuatkan kami tidak puas hati.
“Aduan telah dibuat berulang kali, namun masih tiada perubahan dan tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan,” kata pelajar yang enggan identitinya didedahkan.
Turut menjadi isu adalah bayaran yang dikenakan oleh pelajar jika mereka mahu mengambil barang yang dibeli secara dalam talian.
“Kami terpaksa membayar jika mahu mengambil barangan kami yang dibeli menggunakan duit sendiri.
“Peraturan sebegini sememangnya tidak masuk akal dan membebankan pelajar-pelajar di institusi ini,” katanya.
Isu itu kini telah meraih perhatian orang ramai yang bersimpati dengan nasib pelajar tersebut.