
Pelajar, guru & AI: Menyusuri jurang literasi digital ASEAN
Yayasan ASEAN dengan sokongan Google.org hari ini, melancarkan ASEAN Digital Outlook dan memperkenalkan dapatan awal AI Ready ASEAN Research sempena AI Ready ASEAN 3rd Regional Policy Convening di Manila, Filipina.
Dibangunkan bersama Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM), ASEAN Digital Outlook memberi gambaran menyeluruh mengenai tahap pembangunan digital di rantau ini termasuk infrastruktur, sistem sokongan dan kesiapsiagaan institusi.
Kedua-dua kajian itu menyokong program AI Ready ASEAN, yang telah membantu lebih 5 juta individu meningkatkan literasi AI, melatih lebih 100,000 peserta secara mendalam serta memperkasa lebih 3,000 jurulatih utama di seluruh ASEAN.
Dengan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat, ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam turut berubah. Rantau ASEAN, dengan populasi lebih 660 juta orang hampir satu pertiganya berumur bawah 20 tahun, memerlukan penggunaan AI yang bertanggungjawab untuk membuka peluang pekerjaan, kemahiran baharu dan keterangkuman sosial.
Ekonomi digital ASEAN dijangka meningkat daripada AS$300 bilion kepada AS$1 trilion menjelang 2030.
“Di seluruh ASEAN, penggunaan AI berkembang lebih pantas daripada keupayaan sistem kita untuk mengawalnya.
“Kajian ini membantu kita memahami sama ada institusi, pendidik dan komuniti benar-benar bersedia. Data seperti ini penting untuk merangka dasar yang melindungi orang ramai dan memastikan AI memberi manfaat kepada semua,” kata Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Dr Piti Srisangnam.

ASEAN Digital Outlook menilai tahap infrastruktur digital, keselamatan siber dan tadbir urus negara-negara ASEAN.
Walaupun ada negara yang menunjukkan kemajuan, kajian ini mendedahkan ketidakseimbangan kematangan digital dan keupayaan institusi, termasuk jurang kemahiran digital, kepercayaan awam dan kesiapsiagaan keselamatan siber.
Sementara itu, AI Ready ASEAN Research memberi tumpuan kepada sektor pendidikan. Kajian mendapati ramai pelajar sudah menggunakan AI tetapi literasi dan pemahaman etika masih rendah.
Guru dan ibu bapa mencatat tahap literasi AI tinggi, namun kurang yakin dengan kebolehan sendiri, manakala pelajar lebih yakin tetapi pengetahuan sebenar masih terhad. Di Malaysia, lebih 50 peratus guru mengikuti kursus AI, tetapi 75.73 peratus pelajar belum menerima latihan formal.
Kedua-dua kajian ini menekankan bahawa penggunaan AI berkembang lebih pantas daripada tahap kesediaan institusi dan komuniti. Risiko seperti penipuan dalam talian, penyalahgunaan deepfake, maklumat palsu dan kebocoran data semakin meningkat, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap teknologi digital.
“Akses kepada teknologi sahaja tidak mencukupi. Pelaburan dalam literasi AI, terutamanya untuk pendidik dan komuniti, sangat penting supaya kemajuan teknologi memberi manfaat kepada semua,” kata Ketua Google.org APAC, Marija Ralic.
Melalui pelancaran ini, Yayasan ASEAN menyediakan data dan panduan penting bagi membantu pembuat dasar, pendidik dan rakan pembangunan merancang strategi memperkukuh literasi digital, kesiapsiagaan AI dan pertumbuhan inklusif di rantau ASEAN.
Ringkasan AI
- Yayasan ASEAN dengan sokongan Google.org melancarkan ASEAN Digital Outlook dan dapatan awal AI Ready ASEAN Research di Manila, Filipina
- ASEAN Digital Outlook memberi gambaran mengenai pembangunan digital ASEAN termasuk infrastruktur dan sistem sokongan
- Program AI Ready ASEAN telah membantu lebih 5 juta individu meningkatkan literasi AI di seluruh ASEAN
- Ekonomi digital ASEAN dijangka meningkat dari AS$300 bilion kepada AS$1 trilion menjelang 2030
- Kajian menunjukkan penggunaan AI berkembang lebih pantas daripada tahap kesediaan institusi dan komuniti, meningkatkan risiko seperti penipuan dalam talian dan kebocoran data