
Pelajar & komuniti Kuyungon ganding bahu hasilkan buku separa ilmiah!
Usaha memelihara warisan budaya dan kelestarian alam sekitar di komuniti luar bandar kini dizahirkan melalui penerbitan sebuah buku separa ilmiah hasil kerjasama antara penduduk Kampung Kuyungon dan dua pelajar pascasiswazah dari institusi pengajian tinggi tempatan.
Buku bertajuk Kuyungon: Living in Harmony with Nature itu dirasmikan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah pada 21 Disember 2025 dalam majlis yang berlangsung di Sabah.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan United Nations Development Programme (UNDP), sebagai pengiktirafan terhadap usaha dokumentasi komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Dua pelajar yang memainkan peranan utama dalam penerbitan buku ini ialah pelajar Sarjana Sains Agronomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Mohamad Zaki Mohamad Saad dan pelajar Doktor Falsafah (PhD), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nathaniel Maikol.
Mereka terlibat secara langsung dalam kerja lapangan termasuk pengumpulan data dan temu bual bersama penduduk setempat; pendokumentasian sejarah lisan dan tradisi kampung serta penyediaan penulisan ilmiah sehingga dibukukan.

Menurut Nathaniel, penglibatan komuniti adalah kunci memastikan keaslian maklumat yang direkodkan.
"Buku ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi suara dan identiti masyarakat Kampung Kuyungon sendiri," katanya.
Buku ini digolongkan sebagai buku separa ilmiah, yang menghimpunkan sejarah dan tradisi Kampung Kuyungon; hubungan manusia dengan alam semula jadi dan peranan strategik kampung sebagai kawasan tadahan air (water catchment area) penting di Sabah.
Penglibatan kedua-dua pelajar ini memberikan impak signifikan dengan membantu komuniti mendokumentasikan khazanah ilmu dan warisan mereka.
Inisiatif ini juga menunjukkan peranan aktif mahasiswa dalam menyumbang kepakaran akademik kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Dengan kerjasama berkenaan, Kampung Kuyungon kini tidak hanya mengabadikan sejarah dan budaya, tetapi turut menjadi contoh inspirasi bagaimana akademik dan komuniti boleh berganding bahu untuk memelihara alam serta warisan generasi akan datang.
Ringkasan AI
- Usaha memelihara warisan budaya dan kelestarian alam sekitar di Kampung Kuyungon terwujud dalam bentuk buku separa ilmiah
- Buku tersebut, Kuyungon: Living in Harmony with Nature, dilancarkan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah
- Inisiatif penerbitan buku mendapat sokongan dari United Nations Development Programme (UNDP)
- Dua pelajar pascasiswazah, Mohamad Zaki Mohamad Saad dan Nathaniel Maikol, memainkan peranan utama dalam proses dokumentasi
- Buku ini mengabadikan sejarah, tradisi Kampung Kuyungon serta hubungannya dengan alam semula jadi