
Pelajar Malaysia cemerlang di peringkat antarabangsa melalui Science Castle Asia 2025!
Science Castle Asia 2025 yang berlangsung di Cyberjaya menyaksikan kejayaan gemilang pelajar Malaysia apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn merangkul pingat emas dan Anugerah Poster Terbaik hasil daripada pembentangan inovasi penyelidikan yang kreatif dan luar biasa.
Selain itu, SMK Bukit Gambir turut memenangi pingat emas melalui produk inovatif mereka, manakala SMK (L) Methodist dan SMK Sungai Nibong masing-masing membawa pulang pingat gangsa.
Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, kejayaan ini amat signifikan memandangkan lebih 90 peratus peserta lain berasal daripada sekolah berasrama penuh, elit dan antarabangsa, berbanding empat sekolah harian biasa ini yang membuktikan bahawa keazaman dan peluang mampu merapatkan jurang pendidikan.
Pengarah Urusan Kumpulan USAINS Group, Farid Wajidi Mat Yusoff, berkata, kebanyakan peserta yang menyertai adalah yang kali pertama membentangkan projek di peringkat antarabangsa dan berinteraksi dengan saintis muda dari seluruh dunia.
"Bakat itu universal, tetapi peluang selalunya tidak. Melalui program ini, USAINS membuka laluan untuk golongan belia yang kurang diberi peluang untuk belajar, berinovasi dan memimpin melangkaui komuniti setempat mereka," ujarnya.

Kejayaan pelajar-pelajar ini direalisasikan melalui Program Saintis Muda (Young Scientist Program - YSP) 2025, di bawah Program Pendidikan Hibrid dan Pengalaman Antarabangsa (HEIEP) yang diterajui oleh USAINS Holding Sdn Bhd dengan kerjasama Barn Owl Research Group (BORG), Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini bertujuan memajukan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), memperkasakan kesaksamaan gender serta menggerakkan amalan lestari.
Ia membimbing pelajar dari kawasan bandar kurang bernasib baik di Pulau Pinang termasuk SMK Sungai Nibong, SMK Bukit Gambir, SMK Tun Hussein Onn dan Methodist Boys’ School.
Di bawah bimbingan mentor dari USAINS dan BORG@USM, para pelajar menjalankan penyelidikan ekologi secara praktikal yang merangkumi pengurusan perosak mampan berasaskan burung pungguk jelapang, alat pemantauan berasaskan AI serta reka bentuk habitat untuk pemuliharaan biodiversiti.

Melalui projek-projek ini, pelajar dapat menterjemahkan pembelajaran bilik darjah kepada impak dunia sebenar, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan praktikal mampu membentuk minda inovatif dan berdaya saing.
Menariknya, separuh daripada peserta ialah pelajar perempuan, mencerminkan usaha berterusan USAINS untuk memperkasa wanita dalam bidang STEM dan merapatkan jurang gender dalam pendidikan sains dan teknologi.
Menerusi Program Saintis Muda, USAINS sedang melahirkan generasi pemangkin perubahan yang berfikir secara global, bertindak secara lestari dan bangkit melangkaui batas keadaan mereka.
Setiap penemuan dan pengalaman antarabangsa membawa kita lebih hampir kepada masa depan di mana pendidikan menjadi jambatan dan bukan penghalang kepada kesamarataan serta kemajuan.
Ringkasan AI
- Science Castle Asia 2025 menyaksikan kejayaan pelajar Malaysia dengan SKM Tun Hussein Onn merangkul pingat emas dan Anugerah Poster Terbaik
- SMK Bukit Gambir juga memenangi pingat emas dan dua sekolah lain memenangi pingat gangsa
- Program ini melibatkan peserta yang kebanyakannya menyertai pertandingan antarabangsa buat kali pertama
- Tujuan utama Program Saintis Muda ialah untuk memajukan pendidikan dalam STEM, kesaksamaan gender dan amalan lestari
- Separuh daripada peserta program adalah pelajar perempuan, menunjukkan usaha memperkasa wanita dalam STEM
