Perlawanan persahabatan bola sepak antara UNP All Star vs UPSI All Star di Stadium UNP
Perlawanan persahabatan bola sepak antara UNP All Star vs UPSI All Star di Stadium UNP

UPSI, UNP perkukuh jaringan antarabangsa melalui ASEAN Sports Connection 2025

01 Dec 2025 05:40pm

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh hubungan antarabangsa apabila menjalin kolaborasi strategik dengan Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia menerusi penganjuran ASEAN Sports Connection 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober 2025 di Padang.

Program yang menghimpunkan seramai 23 orang staf akademik dan bukan akademik UPSI ini memberi peluang kepada kedua-dua universiti untuk berkongsi kepakaran dalam bidang akademik dan pembangunan sukan, di samping mempererat hubungan serantau antara institusi pendidikan tinggi ASEAN.

Menurut Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Profesor Madya Dr Jaffry Zakaria, inisiatif ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga menjadi platform pertukaran idea, penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang sains sukan serta kejurulatihan.

“Melalui jaringan seperti ini, kita dapat memperluas peluang kolaborasi penyelidikan bersama, mobiliti staf dan pelajar, serta memperkukuh imej UPSI sebagai universiti pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, UPSI dan UNP juga sedang meneliti potensi perluasan kerjasama akademik seperti program dwijilid (dual degree) dan program rehabilitasi sukan, khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan jasmani dan sains sukan.

Program berprestij ini turut menampilkan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan UPSI All Star dan UNP All Star yang berlangsung di Stadium UNP.

Delegasi UPSI bersama Fakultas Ilmu Keolahragaan (FIK) Universitas Negeri Padang
Delegasi UPSI bersama Fakultas Ilmu Keolahragaan (FIK) Universitas Negeri Padang

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi penuh semangat kesukanan itu, pasukan tuan rumah berjaya menewaskan UPSI melalui penentuan sepakan penalti.

Walaupun tewas tipis, pasukan UPSI yang diketuai oleh Dr. Abdul Muiz bin Nor Azmi menonjolkan semangat juang, disiplin dan solidariti yang tinggi mencerminkan matlamat utama program iaitu memperkukuh hubungan persahabatan dan pertukaran budaya melalui sukan.

Pihak UNP yang diwakili oleh Fakultas Ilmu Keolahragaan (FIK) turut menyambut baik kunjungan delegasi UPSI dan menyatakan komitmen untuk memperluas jaringan kerjasama dalam aspek akademik, penyelidikan serta pembangunan sukan di rantau ini.

ASEAN Sports Connection 2025 bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara UPSI dan UNP, malah menyokong aspirasi UPSI untuk menjadi universiti pendidikan bertaraf antarabangsa melalui agenda Global Partnership and Academic Excellence.

Menariknya, edisi seterusnya program ini dijadualkan berlangsung pada tahun 2026 di salah sebuah universiti di Thailand, sekali gus memperluas lagi jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi di Asia Tenggara.

Ringkasan AI

  • Universiti Pendidikan Sultan Idris menjalin kolaborasi strategik dengan Universitas Negeri Padang melalui ASEAN Sports Connection 2025
  • Program ini menghimpunkan staf akademik dan bukan akademik dari kedua universiti untuk berkongsi kepakaran dalam bidang akademik dan pembangunan sukan
  • Inisiatif ini menjadi platform pertukaran idea, penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan
  • UPSI dan UNP meneliti potensi perluasan kerjasama akademik dalam program dwijilid dan rehabilitasi sukan
  • Acara itu turut menampilkan perlawanan persahabatan bola sepak antara UPSI All Star dan UNP All Star di Stadium UNP
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp