Pelajar meninggal dunia ketika merentas desa
Naufal yang menghidap penyakit jantung berlubang rebah ketika hampiri garisan penamat
KUALA PILAH - Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai kejohanan merentas desa di sekolahnya, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, pelajar terbabit, Naufal Shamsul Fadzli 14, dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sebaik menghampiri garisan penamat.
"Allahyarham dan semua pelajar yang lain anggaran seramai 700 pelajar telah mulakan larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer.
"Lebih kurang jam 9.30 pagi, semasa pelajar itu hampir di garisan penamat iaitu lebih kurang 50 meter, dia telah rebah dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Menurutnya, guru yang berada di lokasi telah cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Ujarnya, pihak sekolah kemudiannya telah menghubungi talian 999 dan dia kemudiannya telah dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk tindakan lanjut.
"Lebih kurang jam 10.15 pagi, ambulans tiba di Unit Kecemasan dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya pelajar itu disahkan meninggal dunia," katanya.
Sementara itu katanya, berdasarkan keterangan daripada ayah Allahyarham, dia menghidap penyakit jantung berlubang sejak tahun 2016.
Malah katanya, dia turut mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa.
"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Jangan tularkan cerita salah tentang kematian pelajar ketika rentas desa
Sementara itu, masyarakat diharap tidak menyebarkan maklumat salah berhubung kematian pelajar di sebuah sekolah menengah di sini ketika menyertai kejohanan merentas desa, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, hanya orang terdekat dengan Allahyarham dan mereka yang berada di lokasi kejadian yang mengetahui apa sebenar berlaku.
"Jadi saya harap benda ini tak ditularkan dengan salah dan saya dah jumpa keluarga dan mereka menyatakan menerima apa yang terjadi ini sebagai takdir," katanya ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, pihak sekolah juga memaklumkan yang pelajar tersebut tidak pernah menunjukan tanda-tanda sakit ketika di sekolah.
Malah katanya, ketika kejadian, pihak guru juga sedaya upaya menyelamatkan Allahyarham, tetapi dia tidak menunjukkan tindak balas yang baik.
Sebelum itu, Bibi Sharliza meluangkan masa beberapa minit bertemu dengan ibu Allahyarham yang jelas kelihatan sugul.
Bagaimanapun wanita terbabit enggan ditemu bual media kerana belum bersedia dan masih sedih dengan pemergian Allahyarham.