Barisan Duta TVET Kolej Komuniti Kok Lanas bergambar kenangan bersama tenaga pengurusan kolej.
Barisan Duta TVET Kolej Komuniti Kok Lanas bergambar kenangan bersama tenaga pengurusan kolej.

64 pelajar sekolah menengah dilantik Duta TVET Kolej Komuniti Kok Lanas

16 Apr 2024 01:11pm
A
A
A

Seramai 64 pelajar dilantik sebagai Duta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melaksanakan projek rintis di Kolej Komuniti Kok Lanas, di sini pada Isnin.

Pengarah kolej, Nik Ahmad Rizal Wan Ismail berkata, pelajar yang terlibat merupakan pelajar Tingkatan Empat dan Lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, SMK Pangkal Kalong, SMK Mulong dan SMK Salor.

Beliau berkata, kesemua pelajar itu akan ditugaskan bagi menyampaikan segala input berkaitan program dan pengkhususan yang ditawarkan di bawah TVET sebagai pilihan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sasaran ialah pelajar yang bakal menamatkan pembelajaran di peringkat SPM, yang seterusnya diperlukan bagi melanjutkan pelajaran mereka selepas itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Duta TVET @ KLCC 2024, di kolej itu, di sini.

Nik Ahmad Rizal berkata, bagi lanjutan pengajian di kolej komuniti syaratnya adalah mudah iaitu lulus SPM dengan satu kredit dan bagi pelajar B40, ada disediakan bantuan kewangan.

"Lepasan SPM boleh memilih program utama yang ditawarkan iaitu Sijil Dandanan Rambut, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa, serta Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan dengan yuran serendah RM200 setiap semester," katanya.

Beliau berkata, pelajar B40 turut dibantu sebanyak RM2,400 setiap semester dan boleh menyambung ke peringkat diploma di politeknik, seterusnya ijazah sarjana muda dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok