polimas4
polimas4

Pelajar POLIMAS bergelumang dalam lumpur, bantu mangsa banjir di Bentong, Pahang

Nor Azma  Muhamat Laila
04 Jan 2022 06:30pm
A
A
A

BENTONG - Pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah, baru-baru ini sanggup bergelumang dalam lumpur demi membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Daerah Bentong, Pahang.

Penyelaras Program, Mohamad Zaki Othman berkata, misi berkunjung ke daerah berkenaan ialah untuk membantu mangsa banjir di bawah selian Kolej Komuniti Bentong bersama dengan 31 orang pelajar dan 10 orang pensyarah serta kakitangan.

“Atas dasar keprihatinan yang tinggi, pihak POLIMAS menggerakkan sukarelawan pelajar bagi memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

“Sebagai langkah awal, kami telah menghantar skuad peninjau untuk mengenal pasti lokasi yang terjejas di daerah ini sebelum menggerakkan sukarelawan kami ke lokasi berkenaan,” katanya.

Menurut Mohamad Zaki yang juga Penyelaras Yayasan Sukarelawan Siswa Politeknik (YES), tujuan penghantaran sukarelawan ini untuk membolehkan mereka membantu kerja-kerja pembersihan dan melihat sendiri keadaan sebenar banjir yang telah berlaku agar mereka insaf dan ikhlas membantu mangsa banjir.

 

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Disiplin dan Kebajikan Pelajar, Abdul Rahman Ahmad yang turut bersama dalam misi kali ini berkata, POLIMAS juga melancarkan Tabung Misi Bantuan Mangsa Banjir bagi mengumpul dana kewangan dan sumbangan keperluan asas, air mineral serta makanan ringan daripada warga politeknik bagi membantu meringankan beban mangsa.

“Misi bantuan POLIMAS memberi fokus kepada penghantaran sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan dan memberikan bantuan keperluan asas harian kepada mangsa banjir yang terlibat.

“Kita memberi fokus kepada keluarga pelajar Kolej Komuniti Bentong yang terjejas dan membersihkan rumah yang disewa oleh pelajar Kolej Komuniti Bentong dari penduduk setempat,” ujarnya.

 

Yang Dipertua Majlis Perwakilan POLIMAS, Abdurrawof Abdul Rahim berkata, dia berminat menyertai misi ini atas dasar keprihatinan kepada mangsa banjir.

“Keadaan banjir yang buruk melanda kawasan ini menyebabkan saya terdetik untuk sama-sama membantu mereka membersihkan kawasan rumah mangsa walaupun terpaksa bergelumang dalam lumpur.

“Saya lihat rakan sukarelawan lain juga begitu bersemangat untuk membantu meringankan beban mangsa banjir dengan menyumbangkan tenaga bagi tujuan pembersihan,” kongsinya.

Seorang lagi sukarelawan POLIMAS, Nik Muhammad Faris Nik Mohd Fadzil turut berkongsi pendapat bahawa dia sangat seronok kerana dapat menyumbang tenaga bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

“Aktiviti ini memberi kepuasan kepada saya kerana dapat membantu mereka yang memerlukan dan saya akan terus mengikuti program sebegini demi membantu masyarakat yang dalam kesusahan," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok