Fahmi
Fahmi

Pembinaan SK Seri Pantai bermula hujung tahun depan, dijadual siap 2031 - Fahmi

20 Nov 2026 02:02pm

Pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai di Kampung Kerinchi dengan berkapasiti 30 bilik darjah dijangka bermula pada penghujung tahun depan dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2031.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, projek di atas tapak lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai itu mampu menampung hingga 900 murid pada satu-satu masa apabila siap kelak.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kewujudan sekolah baharu berkenaan dapat menyuraikan kepadatan murid di SK Bangsar yang kini beroperasi dua sesi.

"Cadangan dan permohonan pembinaan sekolah baharu ini telah saya kemukakan pada 2023 selepas tapak lama SMK tidak lagi digunakan susulan perpindahan sekolah itu ke bangunan baharu sejak 2021.

"Jadi, kita akan robohkan bangunan lama SMK ini bagi memberi laluan kepada pembinaan sepenuhnya SK Seri Pantai," katanya pada sidang media selepas meninjau tapak cadangan pembinaan sekolah itu.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dalam memastikan kelancaran projek berkenaan, nasib kira-kira lapan pengusaha bengkel kenderaan yang kini beroperasi di sebahagian tapak projek turut diberi keutamaan.

Fahmi berkata, hasil rundingan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pendidikan selaku pemilik tanah asal, kesemua pengusaha terbabit akan dipindahkan ke tapak baharu bersebelahan Residensi Alamanda di Pantai Dalam.

"Kita akan bantu mereka untuk urusan pemindahan, dan harapan saya semoga semua pengusaha akan selesai berpindah ke lokasi baharu sebelum sambutan Krismas (25 Dis).

"Selepas selesai proses itu, kita harap ia akan memberi laluan kepada kontraktor untuk masuk dan memulakan kerja-kerja perobohan yang dijangka mengambil masa sekitar 12 hingga 18 bulan dan selepas itu, insya-ALLAH, kerja-kerja untuk membangunkan sekolah baharu akan dapat dimulakan," katanya.

Sementara itu, wakil pengusaha bengkel Herman Shah Ramlee berterima kasih atas keprihatinan Fahmi untuk turun padang meninjau sendiri situasi di tapak, seterusnya terbuka menawarkan bantuan untuk memudahkan urusan mereka berpindah.

"Ketika ini musim hujan, sedikit menggangu kerja kita untuk siapkan binaan premis di kawasan baharu selain urusan perpindahan serta beberapa kekangan lain. Kehadiran beliau, mendengar luahan seterusnya memberikan bantuan amat kami hargai," katanya. - Bernama

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp