Murid dan pelajar di Sabah kini dapat menikmati pelbagai prasarana sekolah yang lebih baik.
Murid dan pelajar di Sabah kini dapat menikmati pelbagai prasarana sekolah yang lebih baik.

Pelajar Sabah nikmati manfaat pembaikan sekolah daif, selenggara bangunan

03 May 2024 01:46pm

Seramai 514,070 murid dan pelajar di Sabah menikmati prasarana sekolah lebih baik hasil usaha berterusan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menaik taraf sekolah daif serta kerja-kerja penyelenggaraan bangunan sekolah di negeri itu.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, 291,911 daripadanya adalah murid di sekolah rendah kebangsaan manakala selebihnya pelajar di sekolah menengah.

"Jumlah itu adalah berdasarkan bilangan sekolah daif yang telah dinaik taraf dan peruntukan projek penyelenggaraan prasarana sekolah harian biasa," katanya.

Beliau berkata, Sabah mempunyai lebih 1,200 sekolah di seluruh negeri dengan menyaksikan pelbagai ciri bangunan dan ada antaranya masih menggunakan bangunan kayu yang sudah mencecah lebih 50 tahun.

Raisin berkata, gerak kerja mengenal pasti data sekolah daif di Sabah khususnya pada skala enam dan tujuh telah dimulakan secara komprehensif pada 2020, dengan 414 sekolah dikesan berada dalam kategori itu.

Bagaimanapun menurutnya, data berkenaan semakin menyaksikan penurunan susulan kesungguhan kerajaan Persekutuan menerusi KPM menyalurkan peruntukkan kepada Sabah bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan sekolah.

Pada 18 April, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam lawatan kerjanya ke Sabah memaklumkan, 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif telah diselesaikan di negeri itu sehingga kini.

Mengulas lanjut, Raisin berkata, peningkatan jumlah peruntukan bagi menangani isu sekolah daif di Sabah dapat dilihat menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) diikuti RMK12 dan keperluan pembaikan sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan sekolah lain di Sabah juga akan terus diangkat untuk disenaraikan dalam RMK13.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Sabah masih lagi berdepan cabaran prasarana sekolah daif pada skala enam dan tujuh, selain kekurangan bilik darjah khususnya dalam usaha memenuhi permintaan pembukaan prasekolah dan pendidikan khas serta kekurangan peralatan makmal sains dan reka bentuk teknologi.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Sabah komited menjadikan usaha untuk mensifarkan sekolah daif menjelang 2029 dan ia merupakan antara yang terkandung dalam deklarasi bagi membina landskap baharu pendidikan di Sabah. – Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp