Pelajar sekolah langgar polis dikenakan bon berkelakukan baik, lesen digantung
Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dengan wang cagaran RM1,000 oleh Mahkamah Khas Trafik di sini pada Rabu atas pertuduhan menunggang secara berbahaya dan melulu sehingga mencederakan anggota polis trafik, Julai lalu.
Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun bagi kesalahan itu.
Hukuman dijatuhkan terhadap remaja yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda itu susulan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada 13 September lalu.
Mengikut pertuduhan, dia sebagai penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah menunggang motosikal di jalan raya dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam iaitu secara melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis trafik.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi di Kilometer 36 arah Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini pada 28 Julai lalu.
Berikutan itu, remaja tersebut yang merupakan pelajar Tingkatan Lima telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan jika sabit lesen memandu percubaan boleh dibatalkan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa, manakala remaja itu tidak diwakili peguam.
Pada 28 Julai lalu, media melaporkan anggota polis trafik dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer 36 arah Selatan, Lebuhraya Lekas.
Dalam kejadian itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban tersebut sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.