Mohd Yusri (tengah) memberi taklimat kepada pelajar pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh pada Rabu.
Mohd Yusri (tengah) memberi taklimat kepada pelajar pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh pada Rabu.

Lebih 770 kes kemalangan maut babitkan pelajar sekolah di seluruh negara?

23 Oct 2024 07:13pm

Sebanyak 779 kes kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah direkodkan di seluruh negara sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 4,043 kes kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah direkodkan sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan trend membimbangkan dan ia telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pihak Bukit Aman telah menyahut kebimbangan (Perdana Menteri) dan kita mengadakan operasi khas kemalangan jalan raya dengan memberi fokus kepada penunggang motosikal kerana ia merupakan antara penyumbang kemalangan jalan raya paling tinggi berbanding kenderaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Op Khas Motosikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, sebanyak 498 pelajar sekolah yang berusia 17 tahun dan ke bawah terbabit dalam kegiatan 'mat rempit' direkodkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Terdahulu, Mohd Yusri dalam ucapannya berkata program advokasi kesedaran dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan jalan raya.

"Ia bagi mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pendidikan dan latihan serta mendorong tingkah laku yang selamat ketika menggunakan jalan raya, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp