Pelajar Pondok Moden Al-'Abaqirah menerima keputusan cemerlang sempena STAM 2024.
Pelajar Pondok Moden Al-'Abaqirah menerima keputusan cemerlang sempena STAM 2024.

Pelajar STAM 2024 raih Mumtaz Sofi, impi sambung belajar di UM

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
20 May 2025 04:03pm

Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 yang diumumkan hari ini menyaksikan ramai pelajar cemerlang meraih keputusan membanggakan hasil usaha gigih dan ketekunan sepanjang tahun pengajian.

Begitu juga Khairul Aiman Hishamuddin, 19, yang memperoleh Mumtaz dalam semua subjek menjadikan keputusannya itu sebagai Mumtaz Sofi (cemerlang).

Ia bukan sekadar menjadi tiket untuk melanjutkan pelajaran, malah membuka jalan untuk merealisasikan impian terbesarnya iaitu melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM).

“Hala tuju saya ialah nak ke arah syariat dan undang-undang. Saya minat ke arah menjadi pegawai ataupun peguam syariah.

“Tetapi dalam masa yang sama, saya dari segi pembacaan pula, saya minat juga bidang falsafah dan usuluddin. Jadi, kebarangkalian besar, selepas ambil ijazah sarjana muda, saya akan sambung bidang usuluddin pula.

“Sekarang, masih menunggu juga (tawaran sambung belajar),” katanya kepada Sinar Bestari selepas keputusan STAM diumumkan di Pondok Moden Al-'Abaqirah, Kuala Lumpur.

 Khairul Aiman
Khairul Aiman

Walaupun pelajar STAM mempunyai ‘tiket’ untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Mesir mahupun Jordan, namun anak ketiga daripada lima adik-beradik itu lebih memilih untuk menuntut ilmu di universiti tempatan.

Artikel Berkaitan:

Khairul Aiman mengakui faktor keselamatan dan ibu bapa menjadi sebab untuk dia tidak menyimpan hasrat untuk belajar jauh daripada keluarga.

“Satu faktor keselamatan dan faktor ibu bapa. Saya fikir kalau saya keluar negara, boleh juga cumanya dia akan susahkan sikitlah ibu ayah saya.

“Jadi, saya pilih untuk dahulukan ayah saya. Kita ambil dalam negaralah. Nanti ada rezeki, kemudian baru saya sambung ke luar negara,” katanya.

Keputusan peperiksaan STAM 2024 menunjukkan peningkatan selepas merekodkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.00 mata berbanding 3.09 mata pada tahun sebelumnya iaitu mengecil sebanyak 0.09 mata.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), GPK bagi calon sekolah KPM pada 2024 pula adalah 2.81 mata berbanding 2.91 mata (2023) iaitu mengecil sebanyak 0.10 mata.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp