
Keputusan STAM 2024 catat peningkatan, 34 calon peroleh Mumtaz
Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024 menunjukkan peningkatan selepas merekodkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 3.00 mata berbanding 3.09 mata pada tahun 2023, iaitu mengecil sebanyak 0.09 mata.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), GPK bagi calon sekolah KPM pada 2024 pula adalah 2.81 mata berbanding 2.91 mata (2023) iaitu mengecil sebanyak 0.10 mata.
"Ini menunjukkan pencapaian calon STAM bagi sekolah KPM 2024 lebih baik berbanding 2023," maklum kementerian dengan menambah, seramai 34 calon berjaya mendapat keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran STAM.
Terdahulu, seramai 4,507 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2024.
Daripada jumlah itu, seramai 1,552 iaitu 34.4 peratus adalah calon sekolah KPM; 1,726 (38.3 peratus) calon Sekolah Menengah Agama Negeri dan 296 (6.6 peratus) calon Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Manakala 29 (0.6 peratus) calon Sekolah Menengah Swasta dan 904 (20.1 peratus) calon persendirian.