Zambry (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek kepada Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed (kanan) dalam program Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Industri E&E pada Selasa.
Zambry (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek kepada Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed (kanan) dalam program Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Industri E&E pada Selasa.

Pelajar STEM berkurang bukan kerana program kejuruteraan dibekukan - KPT

25 Jun 2024 05:50pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menyebabkan program kejuruteraan kini tidak lagi diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian sentiasa mencari pendekatan yang lebih luas dan fleksibel yang mana, sistem pendidikan tinggi di Malaysia tidak lagi hanya memfokuskan kepada kampus atau universiti.

Zambry turut menafikan kualiti program kejuruteraan di IPTS tidak menepati kehendak pasaran menyebabkan program tersebut terpaksa dibekukan.

"Tidak (benar), malah kita mencari pendekatan yang lebih luas dan lebih fleksibel yang mana, seperti saya sebutkan dalam libat urus dengan pemain industri bahawa sistem pendidikan kita sekarang ini tidak lagi hanya berteraskan kepada kampus dan universiti.

"Sebab itu, kerajaan memperkenalkan Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai contoh. TVET itu bukan hanya semata-mata program yang bersifat teknikal, bukan kursus yang rendah tarafnya.

"Kita memang ingin menaikkan taraf TVET termasuk lah dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

"Jadi kita bukakan ruang itu termasuk untuk mereka daripada aliran kemanusiaan atau aliran sastera yang memperolehi keputusan baik dalam bidang Sains dan Matematik," katanya di Majlis Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Industri Elektrik dan Elektronik di Pulau Pinang pada Selasa.

Turut hadir ialah peneraju industri, dekan-dekan elektrik dan elektronik (E&E) universiti di Malaysia serta pelajar yang terlibat dalam Inkubator Penyelidikan dan Industri-Infused (MRI3) KPT Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel Berkaitan:

Zambry (dua dari kiri) beramah mesra dengan petugas di salah satu reruai.
Zambry (dua dari kiri) beramah mesra dengan petugas di salah satu reruai.

Zambry turut menyaksikan majlis penyerahan replika cek daripada rakan industri kepada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjumlah lebih RM5 juta.

Mengulas lanjut, Zabry berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan sains.

"Program Asasi TVET di Politeknik menawarkan peluang kepada pelajar aliran sastera dan kemanusiaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik untuk dilatih dan bersedia memasuki industri.

"Pendekatan kreatif ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh industri tertentu dalam negara," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, sekurang-kurangnya enam program kejuruteraan di enam IPTS termasuk dua kolej yang bekerjasama dengan dua universiti awam, kini tidak lagi diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang mendedahkan perkara itu berkata, ia susulan pengambilan pelajar bagi program kejuruteraan yang ditawarkan berkenaan kini beransur-ansur dibeku dan ditamatkan oleh IPTS terbabit.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp