Pelajar SMK Tun Mutahir maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam. Gambar kecil: Muhammad Rusyaidi
Pelajar SMK Tun Mutahir maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam. Gambar kecil: Muhammad Rusyaidi

Pelajar Tingkatan Lima maut dalam perjalanan ke sekolah

NOR FARHANA YAACOBNOR FARHANA YAACOB
02 Oct 2024 02:50pm
A
A
A

MELAKA - Seorang pelajar Tingkatan Lima yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di Jalan Dato Mat Zin Batu Berendam, di sini, pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, mangsa Muhammad Rusyaidi Mohd Razali,17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y110 dipercayai dari rumahnya di Taman Merdeka menghala ke sekolah berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X Trail yang dipandu lelaki berusia 40 tahun hendak masuk ke simpang sebelah kanan jalan menghala kedai bengkel kereta.

Katanya, mangsa dari arah belakang telah memotong garisan berkembar di sebelah kanan kenderaan terbabit menyebabkan berlaku pergeselan lalu motosikal mangsa terbabas ke arah kanan jalan.

No Image Caption

"Pada masa sama sebuah kereta Honda CRZ yang dipandu seorang perancang perkahwinan berusia 41 tahun dari arah bertentangan tidak sempat menggelak menyebabkan kenderaan itu telah menyeret motosikal mangsa ke arah kiri jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jelasnya, mayat mangsa telah di bawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah di keluarkan bagi mengetahui punca kematian.

“Pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis turut mengesan saksi kejadian bagi nenjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok