Seorang pelajar peralihan Tingkatan Dua dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu bagi menghadapi satu pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas gurunya di sebuah sekolah dua hari lalu.
Seorang pelajar peralihan Tingkatan Dua dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu bagi menghadapi satu pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas gurunya di sebuah sekolah dua hari lalu.

Pelajar 14 tahun tular tumbuk guru mengaku salah

30 Jul 2025 03:30pm

Seorang pelajar berusia 14 tahun yang tular dalam satu video menumbuk gurunya, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Rabu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah, dua hari lalu.

Pelajar peralihan Tingkatan Dua itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Prosiding tersebut dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.

Mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah kira-kira jam 4.48 petang pada 28 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam yang mewakili remaja tersebut, S Priyalatha merayu agar mahkamah membenarkan jaminan rendah memandangkan anak guamnya merupakan pesalah juvana yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin pula mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 memandangkan kes ini tergolong dalam kategori serius dan telah menarik perhatian umum selepas tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelajar itu diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 38 saat di media sosial memaparkan pertengkaran antara dua individu lelaki yang berakhir dengan seorang pelajar menumbuk pipi seorang guru lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pelajar terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Dalam pada itu, ibu pesalah juvana yang berusia 40-an berkata, dia menjaga remaja berkenaan selepas berpisah dengan bekas suami.

Wanita berkenaan berkata, anak tunggalnya itu mengaku menyesal atas perbuatan yang dilakukan terhadap guru tersebut.

"Dia juga telah memohon maaf pada saya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

WARTAWAN: NOOR AZLIDA ALIMIN

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp