No Image Caption

Pelajar UUM berdepan detik cemas di Hat Yai, semua 38 akhirnya berjaya diselamatkan

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
27 Nov 2025 04:35pm

Detik cemas di negara jiran akhirnya berakhir dengan penuh kelegaan apabila 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir besar di Hat Yai, Thailand berjaya diselamatkan sepenuhnya hari ini.

Dalam keadaan hujan lebat yang berlarutan sejak beberapa hari lalu, kawasan penginapan mereka dikelilingi air deras, laluan keluar ditutup, manakala bekalan elektrik dan keselamatan menjadi kebimbangan utama.

Menurut sumber, paras air yang meningkat pantas menyebabkan ramai pelajar panik apabila mereka tidak dapat meninggalkan bangunan penginapan. Kenderaan tidak boleh digerakkan, jalan utama terputus hubungan dan komunikasi dengan luar menjadi terhad. Ada pelajar yang terpaksa berpindah ke tingkat lebih tinggi selepas air mula memasuki kawasan bawah bangunan.

Sepanjang tempoh itu, mereka hanya bergantung pada maklumat daripada pensyarah dan bantuan pihak berkuasa tempatan yang cuba menembusi kawasan banjir.

Gerak kerja menyelamat yang melibatkan kerjasama Malaysia–Thailand akhirnya berjaya dilakukan selepas paras air mula surut sedikit semalam.

No Image Caption

Pasukan penyelamat dari Thailand dengan koordinasi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak Kedutaan Malaysia serta agensi keselamatan kedua-dua negara menebus masuk kawasan yang terputus hubungan sejak beberapa hari. Operasi memindahkan pelajar dilakukan secara berperingkat bagi memastikan semua mangsa dapat dibawa keluar dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

Berita gembira itu disahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Dalam satu kenyataan, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada operasi penyelamatan tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa kesemua pelajar dan pensyarah akan ditempatkan di kawasan selamat sebelum dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

Katanya, koordinasi antara Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan dan pengurusan UUM membolehkan operasi berjalan teratur walaupun keadaan banjir masih berisiko.

Banjir yang melanda selatan Thailand ketika ini turut menjejaskan ribuan penduduk tempatan.

No Image Caption

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan bahawa lebih 700 rakyat Malaysia turut berjaya dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah hasil penyelarasan bantuan kedua-dua negara. Operasi besar-besaran itu digerakkan setelah hujan lebat reda dan paras air menurun, membuka laluan kepada pergerakan pasukan penyelamat.

Bagi para pelajar UUM terbabit, pengalaman terperangkap dalam bencana alam di negara luar pasti meninggalkan kesan mendalam. Ramai yang menggambarkan rasa takut apabila melihat air naik tanpa henti dan bekalan elektrik terputus beberapa kali.

Namun, mereka tetap berpegang antara satu sama lain, saling menenangkan dan berkumpul di kawasan yang dianggap paling selamat sehingga bantuan tiba.

Kesemua mereka berada di Hat Yai bagi menyertai Program Pertukaran Budaya Thai-MYS 2025 bersama Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).

Program itu yang dijadualkan berlangsung beberapa hari bertukar menjadi detik mencemaskan apabila banjir luar jangka melanda wilayah tersebut.

Walaupun berakhir dalam keadaan yang tidak dijangka, yang paling penting, semua 38 nyawa itu kini selamat dan dalam perjalanan kembali ke tanah air. Syukur mereka terselamat daripada musibah yang boleh mengundang tragedi lebih besar.

Ringkasan AI

  • Detik cemas di negara jiran berakhir, 36 pelajar dan dua pensyarah UUM yang terkandas akibat banjir di Hat Yai, Thailand berjaya diselamatkan
  • Hujan lebat menyebabkan penginapan dikelilingi air deras, laluan keluar ditutup dan bekalan elektrik serta keselamatan terganggu
  • Pelajar panik, ada yang berpindah ke tingkat lebih tinggi bangunan, bergantung pada maklumat daripada pensyarah dan bantuan pihak berkuasa tempatan
  • Operasi penyelamatan melibatkan kerjasama Malaysia-Thailand dijalankan, pasukan penyelamat dari Thailand dengan koordinasi berbagai pihak berjaya memindahkan mangsa
  • Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir penghargaan kepada semua yang menyumbang dan menyatakan pelajar serta pensyarah akan ditempatkan di kawasan selamat sebelum dibawa pulang ke Malaysia
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp