KPM akan membekalkan dua unit lencana secara percuma kepada setiap pelajar bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar tanpa membebankan ibu bapa.
KPM akan membekalkan dua unit lencana secara percuma kepada setiap pelajar bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar tanpa membebankan ibu bapa.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang bantu semai kecintaan pada negara

28 Mar 2025 09:19am

Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar berkuat kuasa 21 April ini secara berperingkat, dapat membantu menyemai kecintaan terhadap negara sejak di bangku sekolah.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon dalam kenyataan menyifatkan inisiatif itu bukan hanya simbolik tetapi juga satu langkah penting dalam mengukuhkan identiti nasional dan perpaduan dalam kalangan pelajar.

"Kami menghargai usaha KPM yang membekalkan dua unit lencana secara percuma kepada setiap pelajar bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar tanpa membebankan ibu bapa.

"Langkah ini juga membuktikan komitmen kerajaan dalam menerapkan nilai-nilai patriotik secara inklusif di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan KPM," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Fouzi berkata, NUTP menggalakkan semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat untuk menyokong inisiatif ini agar ia dapat mencapai matlamat yang dihasratkan.

Pada masa yang sama, sebagai kesatuan yang mewakili pendidik NUTP sedia memberikan kerjasama penuh kepada KPM dalam memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan dengan baik serta diterima positif oleh semua pihak.

KPM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa mulai 21 April ini secara berperingkat.

Langkah itu akan melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.

Artikel Berkaitan:

Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, setiap murid akan dibekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma untuk sesi persekolahan 2025/2026. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp