
6 soalan lazim berkaitan pemakaian lencana Jalur Gemilang
Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid menjadi satu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyemai semangat patriotisme sejak di bangku sekolah.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan rasa cinta terhadap negara, malah turut memperkukuh jati diri dalam kalangan generasi muda.
Namun, pelaksanaan dasar ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid mengenai perkara berkenaan.
Rata-ratanya mengemukakan pertanyaan 'mengapa kini perlu memakai lencana Jalur Gemilang, sedangkan sebelum ini ia tidak pernah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara?'
Bagi menjawab segala kekeliruan, berikut adalah enam soalan lazim beserta jawapan berkaitan pemakaian lencana Jalur Gemilang yang telah dikongsikan KPM.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan pencerahan dan menjawab segala pertanyaan yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
1) Mengapa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid diperkenalkan?
- Inisiatif ini diperkenalkan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid. Ia juga dapat meningkatkan rasa bangga dan hormat kepada negara selain meningkatkan disiplin murid.
2) Adakah lencana Jalur Gemilang akan diberi secara percuma kepada murid?
- KPM akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
3) Bila pelaksanaan ini akan bermula?
- Inisiatif ini akan bermula pada 21 April 2025 dan dilaksanakan secara berperingkat.
4) Apa spesifikasi lencana Jalur Gemilang yang akan digunakan?
- Lencana Jalur Gemilang yang akan dibekalkan kepada murid adalah dalam bentuk pin lencana. Ia mudah disematkan atas semua jenis seragam murid. Maklumat lanjut spesikasi lencana boleh didapati dalam Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan Bawah KPM yang disertakan bersama-sama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025.
5) Bagaimana lencana Jalur Gemilang akan diedarkan?
- Lencana Jalur Gemilang akan diedarkan terus kepada murid di sekolah secara berperingkat.
6) Adakah murid yang tidak memakai lencana akan dikenakan hukuman?
- Tidak. Inisiatif ini dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotisme dan cinta akan negara. Ia bukan bertujuan untuk menghukum. Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 dikeluarkan bertujuan untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini adalah mengikut prosedur dan garis panduan.