
Pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama dijangka siap sepenuhnya pada November - KPM
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 buah sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, projek itu yang dilaksanakan sejak Ogos lepas membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta, bertujuan memperkukuh aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama selain membendung insiden tidak diingini termasuk kes buli.
"Pemasangan ini melibatkan sekolah-sekolah berasrama yang telah dikenal pasti berisiko tinggi termasuk yang mempunyai rekod kejadian buli dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Persaraan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025.
Beliau berkata, pemasangan CCTV itu dilihat mampu membantu siasatan secara lebih menyeluruh kerana sebelum ini, banyak kes yang berlaku di kawasan sekolah dan asrama sukar dibuktikan.
Wan Hashim juga berkata, penentuan jumlah dan lokasi pemasangan CCTV di setiap sekolah akan ditentukan mengikut keperluan dengan kerjasama pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan PDRM bagi mengelakkan sebarang pelanggaran privasi khususnya melibatkan pelajar serta guru.
"Setiap sekolah berbeza...jadi, ia dibuat mengikut kesesuaian sekolah berkenaan dan mungkin ada yang perlukan lapan unit kamera atau 10 unit, ikut kesesuaian...kita akan rujuk nasihat daripada CGSO untuk tentukan pasang (CCTV) dari segi sudut yang sesuai," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Pemasangan CCTV di 200 buah sekolah berasrama di bawah KPM di seluruh negara dijangka siap menjelang November
- Projek bermula sejak Ogos dengan peruntukan RM3 juta untuk meningkatkan keselamatan dan membendung insiden buli
- Melibatkan sekolah-sekolah berisiko tinggi termasuk yang mempunyai rekod buli
- Pemasangan CCTV membantu siasatan insiden keselamatan dan buli secara lebih menyeluruh
- Lokasi dan jumlah CCTV akan ditentukan berdasarkan keperluan sekolah dengan nasihat dari CGSO dan PDRM untuk mengelak pelanggaran privasi