Pembelajaran bersemuka, bantu murid mencapai tahap penguasaan minimum
Pembelajaran bersemuka, bantu murid mencapai tahap penguasaan minimum

Pembelajaran bersemuka, bantu murid mencapai tahap penguasaan minimum

webadmin
04 Aug 2020 02:36am
A
A
A

Pembelajaran bersemuka, bantu murid mencapai tahap penguasaan minimum

Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM ) berusaha menyediakan akses pembelajaran kepada murid melalui kaedah Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

KPM juga terus komited untuk memastikan semua murid di seluruh negara tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan selamat sepanjang tempoh PKP sebelum ini.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, kaedah Home-based Learning ini dilaksanakan melalui pelantar pembelajaran digital iaitu MOE-DL, yang kemudiannya dikenali sebagai Digital Education Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Melalui pelantar ini, murid dan guru boleh akses kepada aplikasi seperti Google Classroom dan Google Meet, Microsoft 365, Apple Teacher Learning Centre, buku teks digital, video PdP, kuiz dan video permainan pembelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga boleh akses EduwebTV dan CikgooTube untuk membantu dalam pembelajaran anak mereka di rumah.

“Kementerian juga menjalankan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning) pada 28 Mac hingga 2 April 2020. Kajian ini melibatkan 670,118 responden yang terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 orang murid.

“Dapatan kajian menunjukkan 6.0 peratus murid memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus murid memiliki komputer riba, 5.8 peratus murid memiliki tablet dan 46.5 peratus murid memiliki telefon pintar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Namun pada masa sama, masih terdapat 36.9 peratus murid yang tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Dapatan ini menunjukkan bahawa sebahagian besar murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan berkesan kerana tidak memiliki peranti bersesuaian.

“Di samping itu, terdapat juga kekangan dalam akses kepada internet. Keadaan ini menyebabkan pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid,”jelasnya.

Berikutan itu, KPM sentiasa berusaha untuk memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran secara seragam, termasuk juga murid di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Selain itu terdapat juga guru yang melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid.

Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan kaunter pandu lalu di sekolah.

“Segala usaha yang dilaksanakan ini jelas menunjukkan pihak sekolah serta guru begitu komited dan telah berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan murid tidak ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran,”katanya.

Pun begitu, KPM turut menyedari masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran melalui Home-Based Learning.

“Kaedah Home-Based Learning adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, murid dan ibu bapa. Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad.

“Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning adalah agak terhad berbanding kaedah secara bersemuka,”katanya.

Beliau berkata, jika situasi ini berterusan, murid akan menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

Ini akan memberi kesan kepada minat dan motivasi murid untuk terus mengikuti pembelajaran. Malah, hubungan murid dengan sekolah juga akan terkesan sekiranya mereka terasing dari suasana persekolahan untuk satu tempoh yang panjang.

Justeru, KPM telah meneliti secara menyeluruh untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang bagi memastikan murid sekurang-kurangnya mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

“Sehubungan itu, takwim persekolahan tahun 2020 telah dipinda dengan memaksimumkan tempoh hari persekolahan dan mengurangkan cuti akhir tahun. Ini  membolehkan murid mempunyai tempoh pembelajaran secara bersemuka yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya,”katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok