Pendekatan KPM elak guru bersara awal
Isu guru bersara awal menerima pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Masing-masing memberi alasan tersendiri kenapa perkara itu terjadi antaranya bebanan tugasan yang terlampau banyak sehingga memaksa mereka (guru) pulang lewat hampir setiap hari.
Oleh demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil dengan memaklumkan yang pihaknya telah mengambil pelbagai pendekatan dan mekanisme untuk menaikkan semangat serta motivasi guru bagi mengelakkan mereka memilih untuk bersara awal.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM memandang serius terhadap isu tersebut, namun tetap memberikan ruang sepenuhnya kepada guru-guru membuat keputusan selepas intervensi dilakukan.
"Kita sentiasa membuat pelbagai mekanisme untuk memberikan semangat kepada mereka, ini merangkumi program bersifat psikometrik, sokongan dan dukungan begitu juga dengan pengurusan berkaitan dengan kenaikan pangkat.
"Jadi dari semasa ke semasa sememangnya ada program itu, tetapi saya fikir yang hendak bersara awal maknanya mereka mempunyai alasan kuat seperti masalah kesihatan, tidak berminat (meneruskan kerjaya) dan berkeluarga," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Malam Sungai Duri, Sungai Jawi, Pulau Pinang pada Khamis.
Sementara itu, Fadhlina berkata, isu guru bersara awal tidak akan menjejaskan sistem pendidikan negara kerana ia adalah isu 'datang dan pergi'.
Malah katanya, pengisian kekosongan jawatan guru di seluruh negara kini pada tahap 98 peratus menerusi kerjasama erat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
"Insya-ALLAH, kita ada beberapa pendekatan iaitu keluaran guru daripada Institut Pendidikan Guru (IPG), kemudian kita ada COS (lantikan secara kontrak) yang akan diambil dari semasa ke semasa mengikut keperluan," jelasnya.