Assoc Prof Dr Sabariah
Assoc Prof Dr Sabariah

Pendidik Malaysia tubuhkan persatuan berdaftar untuk perangi maklumat palsu

Mohd Khairi Mohamad Yusri
16 Nov 2021 01:45pm
A
A
A

SHAH ALAM - Sekumpulan 65 guru dan pensyarah telah berganding bahu bagi mempelopori pertubuhan berdaftar yang pertama di Malaysia untuk memerangi maklumat salah dan tidak sahih melalui pendidikan.

Dilancarkan bersempena sambutan Minggu Literasi Media dan Maklumat Global UNESCO, inisiatif yang diilhamkan gerakan Media Education For All tersebut bertujuan untuk memberi dorongan yang lebih kuat dalam membina pemikir kritis dan pengguna media yang lebih bijak melalui strategi yang sistematik dan mampan: memperkasakan pendidik untuk memperkasakan pelajar mereka.

Pada waktu ini, kira-kira 65 guru dan pensyarah di seluruh negara telah menawarkan diri untuk menyertai pertubuhan tersebut di https://arus.cc/persatuanlmm malah terdapat antara mereka yang turut mengambil langkah untuk memimpin.

Pengasas bersama Arus Academy dan ketua projek Media Education For All. David Chak berkata, “Kami mengalu-alukan semua guru dan pensyarah yang bersungguh-sungguh ingin mendidik generasi muda dengan kemahiran literasi media untuk mendaftar segera. Mesyuarat Agung Tahunan pertama kami akan diadakan secara maya pada 20 November 2021 dan mereka berpeluang untuk memberi input dalam pembentukan yang bersejarah serta merangka perlembagaan organisasi ini,” katanya.

David Chak

Media Education For All ialah pemenang Projek Terbaik bagi Literasi Berita dalam Asian Digital Media Awards 2021, dengan rancangan strategik yang telah berjaya melatih lebih 4,000 pendidik tempatan dalam kemahiran literasi media dan maklumat dalam tahun ini, melalui kursus dalam talian percuma yang dibangunkan oleh pendidik dan pengamal media tempatan mengikut landskap dan konteks Malaysia.

Pakar literasi media dan maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh, turut memuji usaha tersebut.

“Tiada masa yang lebih baik daripada sekarang bagi menubuhkan pertubuhan yang rasmi untuk memajukan agenda literasi media dan maklumat di negara ini."

Assoc Prof Dr Sabariah

Suara dan kuasa kolektif kami sebagai pendidik akan membuka jalan kepada kesedaran dan tindakan yang lebih besar untuk melahirkan pemikir kritis dalam kalangan generasi muda,” ujar Dr Sabariah, yang telah bekerjasama dengan UNESCO dalam pelbagai inisiatif literasi media dan maklumat di rantau ini.

Cabaran Media Education For All yang telah berakhir baru-baru ini menyaksikan 11 pendidik membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 untuk inovasi dalam pendidikan dengan mengintegrasikan literasi media dan maklumat ke dalam mata pelajaran mereka.

Antara pemenangnya adalah Mah Zhi Jian, yang merupakan seorang guru yang mengajar di SJKC Yeang Cheang, Kedah.

Beliau menghasilkan sebuah pembelajaran berdasarkan berita atlet paralimpik negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang telah hilang kelayakan di Sukan Paralimpik Tokyo 2021. Murid-murid diminta mengkaji ciapan dan komen orang awam tentang situasi tersebut dan seterusnya membincangkan isu etika perbualan dalam talian.

“Inspirasi pengajaran ini adalah dari reaksi saya sendiri dan juga reaksi orang lain terhadap insiden Ziyad. Sangat mudah bagi kami sebagai pembaca untuk bertindak secara keterlaluan, terpengaruh oleh maklumat yang berat sebelah dan seterusnya mengkritik orang lain secara terbuka sebelum mengesahkan kebenaran perkara itu.

“Kita perlu bersikap kritis terhadap maklumat yang kita terima dan sentiasa memastikan kesahihannya supaya kita tidak menjadi orang yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu,” ujar Mah.

Guru Sekolah Menengah Sains Kepala Batas, Pulau Pinang, Nur Wanira bt Mohd Basri menambah bahawa pelajarnya yang merupakan pengguna media yang tegar telah memberi inspirasi kepadanya untuk membina pembelajaran yang menyeronokkan dan kreatif selain turut mengintegrasikan literasi media dan maklumat.

Pada akhir sesi pembelajaran, pelajar akan mencipta mnemonik untuk membantu orang lain ingat cara-cara menilai kesahihan berita dalam talian.

Nur Wanira Mohd Basri

“Ia sangat penting bagi pelajar untuk dilengkapi dengan kemahiran literasi media, mewujudkan kemahiran berfikir secara kritis dalam menilai berita serta membina tabiat bergantung kepada sumber berita yang boleh dipercayai,” katanya.

Para pendidik kini boleh mengakses bank sumber yang baru dilancarkan yang menampilkan koleksi rancangan pengajaran dan bahan bantu mengajar terbaik ciptaan para peserta pertandingan ini. Media Education For All berharap bahawa bank sumber pengajaran ini akan menggalakkan para pendidik kerana kemahiran berfikir secara kritis dapat diajar dengan kreatif dan mudah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok