AI bakal melahirkan generasi lebih inovatif dan kreatif dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.
AI bakal melahirkan generasi lebih inovatif dan kreatif dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Pendidikan AI lahir modal insan berkemahiran tinggi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Oct 2024 04:28pm

Pendidikan teknologi kecerdasan buatan (AI) membekalkan pelajar dengan kemahiran kritikal yang diperlukan untuk menghadapi pelbagai cabaran revolusi.

Secara tidak langsung, ia bakal melahirkan generasi lebih inovatif dan kreatif dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, mengumumkan dana pendidikan AI ditambah kepada RM50 juta di kesemua universiti penyelidikan.

Ahli akademik dan mahasiswa antara yang teruja dengan pengumuman Anwar dan masing-masing memberi pandangan mereka tentang pendidikan tersebut.

1) "Terdapat beberapa aspek penting yang boleh dilihat dalam memperincikan dana RM50 juta kepada universiti penyelidikan antaranya pembangunan kurikulum. Melalui aspek ini, universiti dapat memperbaharui dan mengembangkan kurikulum yang lebih relevan dengan kemajuan teknologi AI termasuk kursus-kursus baharu yang menekankan aplikasi praktikal dan teori AI yang diketahui lebih tinggi kosnya daripada teknologi sedia ada.”

- Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam, Profesor Madya Ts Dr Nor Shahniza Kamal Bashah

Nor Shahniza
Nor Shahniza

2) "Pendidikan AI di universiti akan menyediakan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat. Di samping itu, sokongan kerajaan melalui penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bakal memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri. Dalam masa sama, pendidikan AI juga membuka ruang kepada latihan industri dan pendedahan antarabangsa serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UiTM dalam dan luar negara. Mahasiswa tidak perlu lagi bergantung kepada pekerjaan konvensional semata-mata tetapi mampu menjadi usahawan teknologi dan inovasi.”

Artikel Berkaitan:

- Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UiTM Kampus Shah Alam, Nazri Akmal Johari

Nazri Akmal
Nazri Akmal

3) “Mungkin akan datang, pendidikan AI dipertimbangkan juga ke peringkat sekolah rendah bagi membina pemahaman yang kukuh tentang teknologi, sekali gus membentuk masa depan mereka. Bagaimanapun, pelaksanaan ini bukan mudah kerana ia memerlukan guru terlatih dan sumber mencukupi. Namun, dengan perancangan yang baik, pendidikan AI di peringkat sekolah boleh menjadi batu loncatan berharga untuk perkembangan generasi muda.”

- Guru Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor Bahru, Johor, Mohamad Fadzil Edris

Mohamad Fadzil
Mohamad Fadzil



No Image Caption

4) “Dalam konteks peringkat pendidikan arus perdana, perkara terbaik yang guru boleh lakukan sekarang ialah ambil tahu tentang AI supaya tidak ketinggalan. Guru perlu sentiasa terbuka untuk terima perkara baharu dan ambil peluang daripada teknologi terkini. Perkara ini juga seiring dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital bagi melahirkan setiap murid fasih digital.”

- Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Suai, Sarawak, Mc Lly Adrian Simon

Mc Lly Adrian
Mc Lly Adrian

5) “Pendidikan berkaitan AI juga wajar diperkenalkan di peringkat sekolah terutama pelajar menengah. Ia membantu pelajar menguasai kemahiran diperlukan untuk masa depan yang semakin dipacu teknologi. Selain itu, AI dapat dimanfaatkan dalam penyediaan soalan dengan pantas dan berkesan serta sebagai alat bantu dalam menyesuaikan pembelajaran mengikut keperluan individu pelajar. Perlu juga panduan jelas dan latihan mencukupi untuk guru-guru memastikan AI digunakan secara optimum dan bertanggungjawab dalam proses pengajaran."

- Guru Cemerlang Hifz Al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Dr Ismail Salleh

 Ismail
Ismail

6) “Dengan sokongan dana dan tumpuan kerajaan terhadap pendidikan AI, akan ada lebih banyak peluang untuk graduan dan penyelidik terlibat dalam inovasi serta kolaborasi industri yang boleh menjana peluang pekerjaan hebat. Ini kerana, kerjaya dalam AI menjanjikan permintaan tinggi dengan peluang untuk pembangunan dalam sektor-sektor utama dalam dan luar negara.”

- Pelajar Ijazah Doktor Falsafah Sains Komputer (Kecerdasan Buatan), Fakulti Teknologi Sains Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Iqbal Abu Latiffi

Muhammad Iqbal
Muhammad Iqbal

7) “Satu usaha murni bagi dunia pendidikan ke arah memartabatkan dunia pendidikan lebih cemerlang seiring dengan zaman.”

- Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan Duyong, Melaka, Zaini Ibrahim

 Zaini
Zaini

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp