
Pendidikan nadi negara
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan landskap pekerjaan global, pendidikan bukan lagi sekadar medium penyampaian ilmu tetapi tunjang pembentukan jati diri, kesejahteraan serta daya tahan generasi masa depan.
Menyedari hakikat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan RPM 2026–2035 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari lalu, sebagai pelan strategik jangka panjang bagi memastikan sistem pendidikan negara terus relevan, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
Berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, RPM 2026–2035 mengangkat visi Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera dengan misi melestarikan sistem pendidikan bermutu bagi membangunkan potensi setiap individu demi aspirasi negara.
Pendekatan ini menekankan pembangunan insan sejahtera secara menyeluruh iaitu murid bukan sahaja dibentuk dari aspek akademik, malah sahsiah, emosi, kemahiran dan nilai kemanusiaan seterusnya menjadi asas kepada pembinaan ciri ‘Insan Sejahtera’ iaitu warganegara yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan serta berkeyakinan.
Lima tumpuan utama RPM 2026–2035
RPM 2026-2035 yang turut berslogan 'Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu dan Meraih Kejayaan Bersama' dibina berasaskan lima tumpuan utama yang saling melengkapi dan menjadi teras kepada keseluruhan strategi pelaksanaannya.
Tumpuan pertama ialah menekankan peningkatan mutu pembelajaran dan pengajaran agar setanding dengan standard antarabangsa.
Usaha itu melibatkan pengukuhan literasi, numerasi, kemahiran berfikir aras tinggi serta pembudayaan pembelajaran bermakna.
Tumpuan kedua ialah akses dan ekuiti, dengan matlamat memastikan tiada murid tercicir daripada sistem pendidikan, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, lokasi geografi atau keupayaan.
Menerusi tumpuan ini, KPM komited untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta memastikan peluang pendidikan adil dan saksama kepada semua.
Ketersediaan sumber dan kecekapan pula menjadi tumpuan ketiga yang menekankan pengoptimuman penggunaan sumber fizikal, digital serta modal insan termasuk pengurusan prasarana sekolah yang lebih cekap, pemanfaatan teknologi pendidikan dan pengukuhan keupayaan pendidik termasuk pentadbir.
Keempat, keluwesan iaitu keupayaan sistem pendidikan untuk bertindak balas secara dinamik terhadap perubahan semasa. Dasar kurikulum dan kaedah pengajaran boleh disesuaikan mengikut keperluan setempat serta cabaran baharu, tanpa menjejaskan prinsip asas pendidikan.
Tumpuan kelima ialah kemampanan, yang menekankan amalan lestari dalam ekosistem pendidikan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi akan datang. Sejajar aspirasi pembangunan mampan negara dan tanggungjawab global.
Kesemua pendekatan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan, meningkatkan mutu keseluruhan sistem dan memastikan keberhasilan pendidikan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.

7 teras strategik pemacu transformasi
Sebagai asas pelaksanaan, RPM 2026-2035 digerakkan melalui tujuh teras strategik yang dirangka secara menyeluruh membabitkan teras pertama iaitu memastikan sistem pendidikan Malaysia yang terangkum, dinamik dan relevan.
Meneliti keberkesanan dan kecekapan implementasi dasar pendidikan, memperkasakan struktur persekolahan kebangsaan serta pentaksiran dan peperiksaan kebangsaan menjadi stratetgi utama dalam memastikan sistem pendidikan kebangsaan berupaya mencapai standard yang setara dengan piawaian antarabangsa.
Mengoptimumkan potensi setiap murid melalui pengalaman pembelajaran bermakna untuk menjadi warganegara global, merupakan teras kedua.
Reformasi kurikulum berorientasikan kompetensi, pengukuhan literasi dan numerasi serta pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sukan dan seni pula keutamaan bagi melahirkan murid seimbang serta bersedia menghadapi masa hadapan.
Antara perkara dan aktiviti utama yang akan dijalankan di bawah teras ini ialah menetapkan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) berasaskan standard serta orientasi kompetensi, modul sokongan pembelajaran berasaskan kemahiran, pentaksiran antarabangsa dan pentaksiran bersepadu dengan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Mentransformasikan pendidik masa hadapan menjadi teras ketiga, fokus terhadap pemerkasaan guru sebagai ejen perubahan utama.
Keseimbangan tugas, pengurangan beban pentadbiran dan pembangunan profesionalisme berterusan diberi perhatian agar pendidik dapat memberi tumpuan kepada pengajaran berkualiti serta pembentukan karakter murid.
Menerusi teras ini, nisbah masa yang ditetapkan bagi tumpuan guru terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP) berbanding tugasan pentadbiran sebanyak 80:20.
Selain itu, laluan kerjaya dan pembangunan bakat kepimpinan muda pendidikan ditumpukan sebagai generasi pelapis pengetua, guru besar dan pemimpin sistem yang bermutu.
Teras keempat ialah memantapkan prasarana fizikal dan digital di mana sekolah ditransformasikan sebagai ruang pembelajaran moden, selamat dan terangkum melalui pembangunan prasarana lestari, penyelenggaraan proaktif serta peluasan prasarana digital dan internet berkelajuan tinggi.
Penggunaan teknologi pintar dan pembelajaran berasaskan AI turut menjadi pemangkin kepada pengalaman pembelajaran abad ke-21.
Memperkukuh sinergi pelbagai pihak yang menjadi teras kelima pula mengiktiraf bahawa pendidikan adalah tanggungjawab semua secara bersama.
Kerjasama strategik KPM, ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan rakan industri disasar bagi menyokong penyaluran sumber, pembangunan bakat murid serta pengayaan pengalaman pembelajaran bermakna.
Teras keenam ialah membudayakan kemampanan dalam pendidikan melalui integrasi Amalan Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (PPM) dalam kurikulum dan kokurikulum. Ia bertujuan melahirkan murid yang peka terhadap isu alam sekitar, sosial dan ekonomi sekali gus membentuk ejen perubahan masa depan yang bertanggungjawab.
Teras ketujuh, meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.

Impak langsung kepada rakyat
Pelaksanaan RPM 2026–2035 dijangka memberi impak besar kepada seluruh ekosistem pendidikan negara.
Murid akan menikmati pembelajaran lebih seimbang dan relevan, guru pula berdaya upaya dan dihargai, manakala sekolah sebagai pusat pembelajaran moden yang selamat serta inklusif.
Lebih penting, pendidikan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara dalam melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran, beradab, berkeyakinan dan berdaya tahan, selari aspirasi Malaysia negara sejahtera serta berdaya saing.
Ketika melancarkan RPM 2026-2035, Anwar dilapor mengulangi komitmen kerajaan terhadap penyediaan pendidikan percuma yang direncanakan sejak awal merangkumi Tahun Satu hingga Tingkatan Enam, selain pemberian elaun khas kepada pelajar.
“Kita telah sasarkan daripada awal keperluan merencana pendidikan percuma...sekarang daripada Tahun Satu hingga Tingkatan Enam adalah percuma termasuk elaun khas pelajar,” kata Anwar.
Sebelum itu, Anwar memaklumkan pelan itu adalah reformasi pendidikan demi masa depan anak-anak yang lebih adil, berdaya saing dan berakar pada nilai agar berpeluang membina kehidupan yang bermakna serta bermaruah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terdahulu menyifatkan pelancaran RPM 2026-2035 sebagai satu lembaran baharu dalam sistem pendidikan negara.
Dalam hantaran di Facebook, akuinya, beberapa prakarsa atau inisiatif penting diumumkan sempena peluncuran itu merangkumi aspek pengukuran pencapaian murid, akses pendidikan awal, pengukuhan kurikulum kebangsaan, kebajikan guru serta peluasan TVET.
“Pendidikan nadi negara dan memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan pelaksanaan RPM 2026-2035 berjaya.
"Ayuh kita jayakan RPM 2026-2035 demi anak-anak Malaysia. Tahun ini, tahun kita!” seru Fadhlina.
Ringkasan AI
- Dalam dunia teknologi, pendidikan membina jati diri, kesejahteraan dan daya tahan
- RPM 2026–2035 diperkenalkan oleh KPM untuk mengekalkan relevansi pendidikan Malaysia di peringkat global
- Pelan ini melibatkan lima tumpuan utama termasuk peningkatan mutu pembelajaran, akses dan ekuiti, serta kemampanan
- RPM 2026-2035 digerakkan melalui tujuh teras strategik untuk melaksanakan transformasi pendidikan
- Pelaksanaan RPM 2026–2035 memberi impak positif kepada murid, guru, dan sekolah, menjadikan pendidikan pelaburan jangka panjang negara
