
Daya tahan komunikasi mahasiswa dalam dunia kerja yang tidak menentu
Dunia hari ini tidak lagi bergerak secara lurus dan boleh dijangka. Perubahan berlaku pantas, kadangkala mengejutkan, dan sering kali di luar kawalan. Tidak hairanlah pelbagai istilah seperti VUCA, BANI dan TUNA muncul untuk menggambarkan realiti dunia kerja yang semakin rapuh, cemas dan sukar difahami.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada gelombang ini.
Dunia industri kini bergerak pantas ke arah digitalisasi, automasi dan kelestarian.
Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, negara jelas menggariskan keperluan tenaga kerja masa depan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi fleksibel, adaptif dan mampu berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai situasi.
Persoalannya, sejauh manakah mahasiswa kita benar-benar bersedia menghadapi realiti ini?
Sebagai pendidik bahasa di institusi pengajian tinggi awam, saya menyaksikan ramai pelajar mampu mencapai keputusan akademik yang baik. Tugasan disempurnakan mengikut kehendak kursus, penglibatan ko-kurikulum yang memuaskan, dan markah peperiksaan yang baik.
Namun, gambaran ini sering berubah apabila mereka diminta bercakap di hadapan khalayak, membentangkan idea secara spontan atau mempertahankan pandangan dalam perbincangan terbuka. Ramai menjadi kaku, ragu-ragu dan hilang keyakinan.
Akhirnya, ada yang terpaksa bergantung kepada bantuan skrip.
Hakikatnya, komunikasi di tempat kerja bukan sekadar soal penguasaan bahasa. Ia menuntut keupayaan mahasiswa menyampaikan idea dengan jelas, meyakinkan dan relevan.
Tambah mencabar, mereka harus berkomunikasi dalam situasi kritikal yang kadangkala menekan dari segi peruntukan masa dan risiko.
Laporan Persatuan Majikan Malaysia (MEF) turut mengesahkan bahawa walaupun kandungan kursus di IPTA ditambah baik dari masa ke masa, jurang antara keupayaan graduan dan keperluan sebenar industri masih wujud, khususnya dari sudut kemahiran insaniah seperti komunikasi dan kepimpinan.
Dalam dunia VUCA dan BANI, komunikasi bukan hanya tentang keupayaan bertutur. Ia tentang memberi kefahaman dalam situasi tidak jelas, berunding dalam urusan high stakes, dan mendengar dengan empati apabila berdepan dengan masalah.
Aspek emosi dan keyakinan diri juga tidak boleh dipisahkan daripada isu ini. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan bahawa satu daripada empat remaja di Malaysia mengalami kemurungan.
Angka ini memberi gambaran jelas bahawa ramai mahasiswa sedang berdepan cabaran emosi yang serius.
Maka, tidak hairanlah ramai lebih selesa berkomunikasi secara maya. Mereka cenderung untuk menghantar pesanan mesej teks berbanding membuat panggilan, menghadiri mesyuarat dalam talian dengan kamera ditutup, dan berat mulut untuk menyumbang idea dalam perbincangan maya.
Ramai mahasiswa bersetuju yang komunikasi digital membuatkan mereka berasa selamat.
Natijahnya, kebergantungan ini menjejaskan keupayaan mereka untuk berkomunikasi secara spontan dan berasa yakin berdepan dengan khalayak.
Situasi ini membawa pembelajaran bahasa dan komunikasi yang lebih berpandukan masa hadapan.
Mahasiswa perlu dilatih untuk menyesuaikan gaya komunikasi mengikut audiens, konteks dan medium. Pembelajaran perlu mencerminkan dunia sebenar melalui simulasi temu duga tempat kerja, pengucapan awam, pengurusan konflik dan pembentangan idea secara profesional.
Teknologi seperti kecerdasan buatan juga boleh dimanfaatkan sebagai alat sokongan untuk latihan kendiri. Untuk menyokong keperluan ini, sesetengah IPTA sedang rancak menawarkan kursus komunikasi secara micro credentials.
Kesimpulannya, usaha negara menuju ekonomi berpendapatan tinggi tidak boleh direalisasikan tanpa tenaga kerja muda yang berkualiti tinggi. Justeru, kejayaan mutlak mahasiswa tidak seharusnya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi melalui daya tahan komunikasi dan kebolehan menyampaikan idea secara profesional.
Maklumat penulis:
Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah, Hamizah Zahari
Ringkasan AI
- Dunia industri bergerak pantas ke arah digitalisasi, automasi dan kelestarian
- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 menekankan perlunya tenaga kerja yang berpengetahuan, fleksibel, adaptif dan komunikatif
- Jurang kemahiran komunikasi dan kepimpinan antara graduan dan keperluan industri masih wujud
- Keterampilan komunikasi melibatkan pemahaman, perundingan dalam situasi kritikal dan mendengar dengan empati
- Kursus komunikasi micro credentials ditawarkan oleh sesetengah IPTA untuk memenuhi keperluan pasaran kerja
