

Pengakap, media pemangkin pembangunan pelajar dan belia
Kerjasama strategik antara Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dengan pelbagai saluran media dilihat mampu menjadi pemangkin penting untuk menyebarkan mesej positif dalam masyarakat.
Hubungan ini bukan sekadar tentang liputan, tetapi ia membuka ruang kepada naratif pembangunan belia, memaparkan kisah kejayaan ahli Pengakap dan mengukuhkan nilai sivik serta semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Menurut Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin, generasi muda memiliki potensi besar dan hanya perlu diberi peluang.
“Anak-anak muda kita memiliki potensi besar. Mereka hanya perlu diberikan platform dan media adalah antara platform tersebut. Pengakap Malaysia komited menyediakan program, latihan dan ruang pembangunan diri.
“Dengan sokongan media, potensi ini boleh disebarkan, disaksikan dan dihargai oleh seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media.

Pada program berkenaan, Sinar Bestari menerima Anugerah Artikel Pilihan dengan tajuk ‘Langkah kecil, impak besar’ yang bersiaran pada 7 Julai lalu.
Di samping itu, usaha memperkukuh jenama dan imej Pengakap turut diutamakan.
Jalinan dengan agensi kerajaan, sektor industri dan media turut diperluas agar tadbir urus yang berkualiti dapat disemai seterusnya menyokong pembangunan komuniti serta kelestarian.
Bagaimanapun, Mohd Zin menegaskan bahawa masa depan Pengakap, belia dan negara tidak boleh dipisahkan.
Dengan sokongan media, katanya lagi, kisah positif akan terus bergaung, suara generasi muda akan semakin didengar dan usaha membina negara dengan warga muda berwibawa pasti akan melangkah jauh.
Ringkasan AI
- Kerjasama strategik Persekutuan Pengakap Malaysia dengan media mampu sebarkan mesej positif dalam masyarakat
- Hubungan ini memperkukuh nilai sivik dan semangat patriotik
- Generasi muda berpotensi besar dan perlu peluang
- Sokongan media penting untuk menyebarkan dan menghargai potensi generasi muda
- Jalinan dengan agensi kerajaan dan sektor industri diperluas untuk pembangunan komuniti dan kelestarian
