Kredit foto: Freepik
Kredit foto: Freepik

Penjelasan Lembaga Peperiksaan mengenai UMBI SPM 2022, ini kata mereka!

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Feb 2023 03:09pm
A
A
A

Baru-baru ini, kecoh di media sosial berkenaan pelaksanaan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.

Kekecohan yang berlaku itu dikatakan kerana isu kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan tik tokers sebagai pelontar suara.

Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataan medianya berkata, keputusan menggunakan bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM 2022 dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan iaitu pertama, format soalan UMBI SPM adalah dalam pelbagai bentuk iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respons terhad.

Susulan itu, UMBI SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan.

"Kedua, LP juga memastikan item atau instrumen yang dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan. Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil dan saksama kepada calon," ujar LP.

Kata kenyataan media itu lagi, kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).

“Pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan. Di samping itu, aspek autentik pada penutur juga dititikberatkan dalam pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi.

“Selain itu, praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan,” kongsi LP.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, LP turut menafikan penggunaan tik tokers sebagai pelontar suara audio UMBI SPM 2022.

“Pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

“Mereka yang dipilih adalah berwibawa dalam berbahasa Inggeris dan telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM 2022.

“Kami yakin kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM 2022 kekal utuh seterusnya memastikan kepentingan serta keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM kali ini adalah terjamin,” jelas kenyataan itu lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok