Beg sekolah berat: Pakar Ortopedik, orang ramai kongsi pandangan dan harapan
Beg sekolah berat: Pakar Ortopedik, orang ramai kongsi pandangan dan harapan

Beg sekolah berat: Pakar Ortopedik, orang ramai kongsi pandangan dan harapan

Roshlawaty Md Raieh
07 Mar 2022 04:08pm
A
A
A

Pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai tujuh ketetapan yang bakal dilaksanakan bagi menangani isu beg berat dihadapi murid, melegakan ramai pihak.

Ini kerana, isu tersebut sudah lama berlarutan dan apabila KPM menemui solusi terbaik, ia adalah keputusan yang sangat menggembirakan.

Bagaimanapun, sebelum KPM mengumumkan solusi tersebut, kami di Sinar Bestari mendapatkan sedikit pandangan dan cadangan berkaitan situasi beg berat murid-murid sekolah.

Pelbagai cadangan, harapan dan komen yang membina telah diberikan oleh doktor dan juga beberapa individu lain berkenaan topik ini.

Justeru, kami kongsikan ulasan daripada mereka (sebelum KPM umumkan tujuh pendekatan) di bawah ini. Jom tengok, apa kata mereka.

Pakar Ortopedik dan Traumatologi Am, SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Dr Farid Fikri Shukri, 37 ketika ditemubual berkata, permasalahan beg berat merupakan isu yang sudah lama berlaku di mana pelajar terpaksa memikul buku-buku dan peralatan sekolah di dalam beg.

“Semua keperluan ini adalah berat dan mungkin memberi impak yang negatif terutamanya kepada tulang belakang pelajar.

“Bayangkan mereka ini perlu memikul beban antara lima hingga 10 kilogram (kg) setiap hari. Sudah tentu lambat laun tulang belakang pelajar akan terkesan disebabkan bebanan berlebihan,” katanya.

Dr Farid Fikri

Tambah beliau, menggalas beg sekolah yang berat setiap hari pasti akan memberi kemudaratan kepada tulang dan otot sekali gus menyebabkan permasalahan tulang belakang semakin bengkok.

“Tulang belakang kita mempunyai bentuk normal. Bagaimanapun jika bebanan yang diberikan di luar daripada kebiasaan, ini akan menganggu proses pembentukan dan pembesaran pada tulang belakang pelajar.

“Kebiasaannya, situasi tulang bengkok ini banyak berlaku pada pelajar perempuan kerana faktor tulang tisu badan yang lebih fleksibel atau lentur dan juga faktor hormon yang menyebabkan mereka cenderung untuk mendapat masalah tulang bengkok,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Farid Fikri menjelaskan, beliau pernah berdepan dengan kanak-kanak yang mengalami masalah sedemikian.

“Kes pertama, kanak-kanak mengalami sakit belakang kerana membawa bebanan berat ketika ke sekolah. Bagaimanapun, setelah masalah tersebut (beg berat) selesai, keadaannya semakin pulih.

“Kes kedua pula, kanak-kanak mengalami sakit belakang juga disebabkan memikul berat daripada beg. Cuma ia berbeza sedikit kerana tulang belakang dia memang sudah bengkok semenjak kecil iaitu sebelum memikul beg berat lagi. Keadaan ini sukar dirawat secara biasa dan ia memerlukan rawatan khusus untuk membantunya pulih,” jelasnya.

Baca juga 

Ini yang Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa lakukan bagi atasi beg sekolah berat. Terbaik kaedahnya!

Akhirnya! Penyelesaian isu beg berat, KPM umum 7 pendekatan baharu

Ini bermakna, tidak semua kes tulang belakang bengkok adalah disebabkan beban beg yang dipikul oleh pelajar semata-mata. Ia boleh disebabkan oleh masalah yang dialami sejak dari kecil lagi.

Walaupun begitu, memikul beg berat tetap akan menyebabkan sakit dan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu, ibu bapa perlu peka, tahu dan diberi pendedahan supaya masing-masing dapat mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan daripada terus parah.

Tegas Dr Farid Fikri lagi, beberapa kesan buruk akan berlaku jika tidak dikawal awal seperti kesakitan tulang belakang yang berterusan, cara jalan yang tidak menarik iaitu bengkok ke depan hingga memberi impak terutama kepada kanak-kanak perempuan apabila sudah dewasa, pandangan mata ke arah bawah (ke arah lantai) yang tidak bagus dan berbahaya hingga memberi kesan terhadap keyakinan diri kerana berasa malu serta banyak lagi.

Akhir sekali, beliau menasihatkan semua pihak agar mencari solusi mengenai perkara ini secepat mungkin seperti mewujudkan penggunaan e-buku, kerja rumah dalam talian, pelajar disediakan jadual yang lebih efektif dan sebagainya.

“Ibu bapa juga perlu memeriksa buku dan peralatan sekolah yang dibawa oleh anak-anak agar tidak membawa beban berlebihan.

“Saya juga menyarankan jika boleh pelajar hanya perlu membawa tablet sahaja ke sekolah bagi menggantikan buku dan cara ini dapat memelihara alam sekitar. Bagi aktiviti Seni Muzik dan sebagainya, pihak sekolah mungkin boleh menyediakan barangan diperlukan supaya tidak menambahkan lagi beban peralatan tambahan dibawa pelajar,” ujarnya lagi.

Baca juga 

Guna teknologi dan gajet, dapat pelbagaikan kaedah PdP dan atasi masalah beg berat

Kenangan mengusik jiwa! Asni pelajar baik, gelagat lucunya buat ramai tertawa, namun kini dia sudah tiada

Buat jadual anjal

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Zainol Abidin Mohamad, 64, berkata, masalah kanak-kanak membawa beg berat ke sekolah setiap hari bukanlah kisah baharu.

“Sudah ramai yang bawa isu ini ke hadapan dan kita tunggu dan lihat sahaja nanti,” katanya.

Selaku YDP PIBG, Zainol Abidin berkata, pihak sekolah telah mengambil beberapa pendekatan dalam menangani isu tersebut.

“Kita buat jadual anjal bagi mengurangkan murid bawa buku banyak ke sekolah. Dalam masa sama, kita sediakan modul interaktif bagi membantu mereka membeli buku di pasaran.

Zainol Abidin

“Kemudian, barisan guru sentiasa mengadakan perbincangan untuk menyusun kerja rumah agar murid tidak terbeban membawa buku yang diperlukan terlalu banyak,” jelasnya.

Zainol Abidin turut mengemukakan beberapa cadangan untuk isu berkenaan.

“Saya cadangkan penggunaan buku elektronik bagi membantu mengurangkan bebanan berat beg sekolah. Ibu bapa juga disarankan memantau anak-anak ketika menyusun buku mengikut jadual waktu di rumah bagi mengelakkan membawa buku yang tidak berkaitan.

“Guru-guru sekolah juga boleh perkenalkan konsep perkongsian buku teks dalam kalangan murid-murid dan yang terakhir mohon kajian semula silibus oleh KPM yang mana di peringkat sekolah rendah hanya fokus kepada 3M,” ujarnya.

Mengadu sakit bahu, sakit belakang

Sementara itu, seorang ibu, Fazli Diana Md Raieh, 37, berkata, anaknya turut tidak terkecuali berhadapan dengan situasi menggalas beg berat setiap hari.

“Anak saya, Nik Humaira Aafiya Nik Shazrin, 10, sering mengadu sakit bahu dan sakit belakang apabila pulang dari sekolah.

“Saya ada juga beritahu pada dia, bawa sikit sahaja buku setiap hari tapi Nik Humaira tetap mahu membawa kesemua buku mengikut jadual kerana takut dimarahi cikgu,” ujarnya.

Diana bersama anak-anaknya berharap pihak sekolah dapat menyediakan almari yang bersesuaian untuk murid-murid.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Diana berkata, sudah tiga tahun anaknya sebegitu dan setakat ini anaknya belum lagi berhadapan dengan sakit belakang yang kritikal.

“Sakit sikit-sikit tu adalah. Saya sapu ubat panas dan selepas itu baik. Tapi kesian jugalah, sampai bila hendak galas beg berat tiap-tiap hari. Dia pun masih kecil, berat badan pun dalam 20kg.

“Kerana itu, saya berharap pihak sekolah dapat menyediakan almari bersesuaian untuk murid-murid menyimpan buku tertentu bagi mengelakkan mereka membawa beg berat pada hari persekolahan,” ujarnya.

Reaksi orang ramai

"Pengukuran berat beg ideal perlu dijadikan keutamaan sebagaimana pandangan pakar kesihatan bagi mengurangkan risiko kepada murid dengan penetapan dan penguatkuasaan polisi seperti penyediaan jadual anjal dengan maksimum empat subjek sahaja sehari dan menggunakan teknologi ICT melalui kelas maya. Saya amat tertarik dengan usaha Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Nerus Terengganu, yang memperkenalkan penggunaan iPad sebagai menyokong pembelajaran maya dan buku aktiviti ditempatkan di rak berkunci yang dikhaskan bagi setiap pelajar.” - AJK PIBG SESMA, Mohd Juhari Ab Kadir.

Mohd Juhari

"Sekarang zaman pendigitalan, malah kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) pun sudah berubah. Justeru, ada alternatif yang efektif seperti menukar buku teks fizikal kepada buku elektronik di mana kandungannya tetap sama dan murid pun tidak terbeban.” - Penjawat awam, Profesor Madya Dr Ghazali Din.

Dr Ghazali

"Langkah proaktif perlu dilaksanakan segera dengan lebih memfokuskan keberkesanan subjek pembelajaran di sekolah dan bukanlah dengan membawa bilangan buku yang banyak. Perubahan ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama KPM, guru, ibu bapa dan orang ramai.” – Pelajar UKM, Muhammad Asyraf Faiz Zuarimi.

Muhammad Asyraf Faiz

"Saya cadangkan disediakan rak atau ruang menyimpan buku di dalam kelas masing-masing. Jadi, murid hanya perlu membawa buku tertentu untuk membuat latihan di sekolah.” – Pelajar Institut Pendidikan Guru, Kampus Kent Tuaran, Sabah, Muhammad Danial Danish Shaharudin.

Muhammad Danial Danish

"Mungkin pihak sekolah boleh lihat cara institusi pengajian tinggi lakukan seperti mengajar menggunakan Microsoft Power Point dan segala input subjek disediakan di dalam slide tersebut. Untuk pelajar pula, hanya membawa buku bagi mencatat nota dan isi penting.” - Pelajar IPT, Muhamad Hakimin Che Idris.

Muhamad Hakimin

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan