HomeBuletinPenyelidik UPM hasilkan bekas makanan biodegradasi berasaskan sabut kelapa, optimum sisa pertanian

Artikel Berkaitan

Penyelidik UPM hasilkan bekas makanan biodegradasi berasaskan sabut kelapa, optimum sisa pertanian

SERDANG – Bekas makanan merupakan perkara penting bagi pengusaha makanan. Kini, rata-rata masyarakat sudah cakna dalam pemilihan bekas makanan yang mesra alam selari dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik di pasaran.

Selari dengan usaha ke arah masa depan yang lebih hijau dan selamat, sepasukan penyelidik dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Siti Salwa Abd Gani mengambil inisiatif menghasilkan inovasi bekas makanan mesra alam yang menawarkan pelbagai kelebihan seperti mudah dileraikan, murah dan efektif.

Pembungkusan bekas makanan yang menggabungkan konsep biodegradasi berasaskan sabut kelapa itu menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan digunakan sebagai alternatif bagi menggantikan penggunaan plastik, polisterin dan sebagainya.

Selaras dengan ketetapan Barisan Jemaah Menteri Malaysia pada 2018 telah membangunkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna menjadikan inisiatif yang diambil oleh penyelidik UPM sebagai langkah proaktif, mendukung cita-cita ini dengan berkongsi kepakaran menghasilkan inovasi bekas makanan sabut kelapa.

Melalui inovasi sabut kelapa juga, bekas makanan tidak lagi menjadi faktor yang menyumbang kepada pencemaran alam untuk jangka masa panjang sekali gus meningkatkan usaha negara untuk memulihara ekosistem kehidupan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan industri berasaskan pokok kelapa merupakan industri keempat terbesar dan terpenting di negara kita, oleh itu sisa tanaman sabut kelapa adalah murah dan mudah didapati menjadikannya bahan asas yang baik untuk menghasilkan inovasi hijau.

Selain mudah didapati dan harga yang murah, teknologi ini juga menawarkan daya ketahanan tinggi untuk menampung berat makanan sehingga mencapai satu kilogram.

Profesor Madya Dr Siti Salwa Abd Gani.

Menurut Siti Salwa, inovasi ini menawarkan pelbagai faedah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sisa tanaman.

“Pendekatan yang diambil untuk menghasilkan inovasi ini adalah menarik berbanding bekas makanan yang berada di pasaran dengan mengetengahkan konsep ‘From Waste to Wealth’ sekali gus menjadikannya sebagai daya penarik pengguna terutama bagi pencinta alam sekitar.

“Konsep yang diterapkan ternyata memberi kelebihan dengan menukarkan sisa terbuang iaitu sabut kelapa sebagai bahan penting komponen bekas makanan demi memastikan kelestarian alam sekitar dan pengurangan sisa tanaman itu dapat dicapai,” katanya.

Tambahnya lagi, UPM memandang serius hasrat kerajaaan dan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dalam memastikan keseimbangan ekosistem menyebabkan perkara ini menjadi fokus utama dalam penghasilan inovasi bekas makanan dengan memastikan ia mudah terurai dan cepat dibiodegradasi seterusnya menjadi alternatif terbaik menggantikan polisterin dan plastik.

“Menitikberatkan keperluan penggunaannya yang meluas di pasaran, inovasi ini dibangunkan menggunakan kos yang murah dan mudah didapati bagi menjamin semua lapisan masyarakat mampu menggunakannya secara meluas.

“Ciptaan yang telah dipatenkan ini dijangka menerima sambutan hangat kerana faedah yang ditawarkan terutama kepada pengusaha makanan kerana penggunaanya adalah praktikal, murah dan sebagai langkah melaksanakan dasar kerajaan dalam memanfaatkan sisa tanaman serta mengurangkan penggunaan plastik dan polisterin,” ujarnya.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Promosi dan Pengkomersilan Inovasi) UPM, Profesor Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab Rahman berkata, Putra Science Park, UPM amat mengalu-alukan kolaboratif dari pihak industri bagi memastikan hasil penyelidikan dapat disalurkan ke pasaran supaya semua pihak dapat menikmati maanfatnya ke arah kehidupan yang lebih selamat dan berteknologi tinggi.

Artikel Terkini