Peratus lulus PSRA 2024 catat peningkatan
Pencapaian peratus kelulusan keseluruhan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2024 mencatat peningkatan sebanyak 0.9 peratus iaitu 89.4 peratus berbanding tahun lepas 88.5 peratus.
Daripada keputusan ini, seramai 9,178 iaitu 20.5 peratus calon mendapat pangkat Mumtaz (cemerlang) manakala 14,865 calon mendapat pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik).
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, jumlah calon PSRA yang berdaftar bagi tahun ini adalah seramai 45,214 calon dan 44,799 calon iaitu 99.08 peratus hadir menduduki peperiksaan.
“Alhamdulillah sukacita dimaklumkan bahawa pencapaian PSRA mengikut mata pelajaran iaitu Ujian Tilawah dan Hafazan (UTH) mencapai 99.98 peratus diikuti dengan Akhlak dan Sirah (AS01) pula mencapai 88.4 peratus lulus.
“Bagi pencapaian kertas Bahasa Arab (BA02) mencatat sebanyak 87.8 peratus manakala Jawi, Imlak dan Khat (JIK03) pula 95.7 peratus.
“Tauhid dan Fekah (TF04) mencapai lulus 86.5 peratus dan kertas Tajwid (TJ05) sebanyak 86.4 peratus lulus,” katanya ketika Majlis Pengumuman Peperiksaan PSRA, Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz al-Quran (SMATQ), Sijil Menengah Agama Tahfiz al-Quran KBT (SMATQKBT), Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) dan Sijil Kafa Menengah (SKM) 2024 pada Khamis.
Tambahnya, Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) PSRA bagi tahun 2024 ini juga adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya iaitu 2.53.