Mohammed Mukhyuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 
Mohammed Mukhyuddin menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Pergerakan pengakap perlu diangkat sebagai wadah pendidikan tidak formal

16 Dec 2025 09:30am

Pergerakan pengakap perlu diangkat sebagai wadah pendidikan tidak formal dalam usaha melahirkan pemimpin dan individu yang bertanggungjawab, melangkaui peranannya sebagai pertubuhan beruniform semata-mata.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mohammed Mukhyuddin Sarwani berkata,  dalam mendepani cabaran semasa, peranan pergerakan itu dalam pembentukan karakter, sahsiah dan nilai kemanusiaan semakin relevan.

"Pengakap bukan sekadar sebuah pertubuhan beruniform, tetapi sebuah gerakan pendidikan bukan formal yang melahirkan pemimpin masa depan, warganegara bertanggungjawab dan insan yang berbakti dengan penuh keikhlasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mohd Hilmi Abu Bakar; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zamri Saiman dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah.

Majlis itu turut menyaksikan seramai  237 orang menerima Sijil Wangsa Pengakap Wilayah, iaitu sijil kepujian Ketua Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dianugerahkan kepada pemimpin dan individu yang banyak berbakti kepada pergerakan pengakap di negeri itu.

Mohammed Mukhyuddin berkata, anugerah berkenaan bukan sekadar simbol penghormatan, tetapi pengiktirafan terhadap komitmen, kesetiaan dan khidmat bakti yang berterusan kepada gerakan pengakap.

"Saya berharap agar penganugerahan ini menjadi penyuntik semangat untuk para penerima terus melangkah ke hadapan, memimpin dengan hikmah dan memperkukuh nilai-nilai pengakap dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda," katanya. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pergerakan pengakap dilihat sebagai platform pendidikan tidak formal untuk melahirkan pemimpin dan individu bertanggungjawab
  • Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara menekankan pengakap melibatkan pembentukan karakter dan nilai kemanusiaan
  • Dinyatakan sebagai gerakan yang membentuk pemimpin masa depan dan warganegara bertanggungjawab
  • Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 menyaksikan 237 orang menerima Sijil Wangsa Pengakap Wilayah
  • Penganugerahan dianggap sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap komitmen dalam gerakan pengakap
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp