No Image Caption

Perlukah UPSR dan PT3 dikembalikan?

07 Oct 2024 11:18am

'Pelajar bukan tikus makmal' itulah respon Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek apabila puluhan ribu ibu bapa ingin Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan.

Kementerian telah pun membuat keputusan untuk terus memansuhkan peperiksaan tersebut khusus untuk pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3. Keputusan yang berbelah bagi.

Ramai yang menyatakan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sekarang perlu dilupuskan. Ibu bapa gusar akan prestasi anak memandangkan tiada peperiksaan penting sebelum kemasukan ke asrama penuh mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Anak semakin lewa untuk pergi ke sekolah dan hilang hala tuju. Masalah disiplin kehadiran sekolah semakin meningkat. Anak hilang fokus dan tiada semangat untuk belajar kerana tiada peperiksaan yang akan menilai mereka kelak.

Sistem PBD yang diperkenalkan juga nampaknya mempunyai banyak kelemahan. Guru seolah-olah tiada keupayaan untuk menilai setiap pelajar memandangkan setiap kelas mempunyai purata seramai 40 pelajar bilangan yang terlalu padat.

SHEIKH MUSZAPHAR
SHEIKH MUSZAPHAR

Pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi senyap dan tidak aktif akan mencapai nilai tahap penguasaan (TP) yang rendah. Ibu bapa sering keliru akan pencapaian anak walaupun telah diberitahu.

Silibus di sekolah juga terlalu tinggi antara keluhan ibu bapa. Ramai pelajar masih belum mahir menguasai 3M - membaca, menulis dan mengira khususnya di sekolah pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Buat ibu bapa yang prihatin dan mampu meluangkan masa bersama anak, mereka lebih berpihak kepada kemansuhan UPSR dan PT3. Mereka melatih dan mengajar anak di rumah. Anak tidak lagi mengalami stress. Anak lebih tenang dan seronok untuk belajar. Tidak lagi melalui tekanan mental untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.

Sistem pendidikan negara sering berubah. Bukannya mudah untuk kita menerima perubahan. Kita semua inginkan yang terbaik buat anak anak. Pihak kerajaan, guru dan ibu bapa harus berbincang untuk melahirkan sistem yang terbaik.

Yang terkesan adalah pelajar itu sendiri. Mereka bukanlah bahan eksperimen atau tikus makmal.

Kesihatan mental pelajar adalah segala galanya dalam mencapai sistem pendidikan yang terbaik.

Maklumat Penulis

Angkasawan Negara yang juga merupakan Felo Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sheikh Muszaphar

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp