230821-buletin3
230821-buletin3

PERMAS, UPSI raikan Bulan Kemerdekaan

Mariatul Qatiah Zakaria
24 Aug 2021 02:32pm
A
A
A

TANJUNG MALIM - Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-64, Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menganjurkan ‘Program Bulan Kemerdekaan 2021’.

Program tersebut yang berlangsung dari 1 hingga 30 Ogos ini, dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Sejarah FSK.

Penaung program, Prof Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim berkata, pandemik Covid-19 telah menyekat pergerakan sosial namun ia tidak mengehadkan perkembangan minda dan jiwa.

“Walaupun Covid-19 menyekat pergerakan komuniti secara keseluruhannya, ini tidak bermakna segala-galanya terbatas.

“Ini merupakan satu inisiatif  menarik minat dan perhatian masyarakat untuk mendalami erti kemerdekaan terutamanya dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Untuk itu mahasiswa harus memainkan peranan penting dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menghayati erti kemerdekaan,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua PERMAS, Maisura Ali berkata, penghayatan kemerdekaan dapat membentuk jati diri dan nilai patriotisme yang tinggi khususnya kepada generasi muda.

Tambahnya, penerapan semangat patriotisme juga dilihat dapat memastikan kestabilan negara dan keharmonian antara kaum dapat dikekalkan.

“Menyedari kepentingan ini, PERMAS dan Jabatan Sejarah sama-sama menggembleng tenaga memastikan wadah kemerdekaan dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat melalui Program Bulan Kemerdekaan 2021 walaupun secara dalam talian.

“Bagi menarik minat dan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, program ini akan dijayakan melalui siri webinar dan pertandingan bertemakan kemerdekaan,“ tuturnya lanjut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok