Permohonan ke Institusi Pendidikan Mara luar biasa!
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan kegembiraan apabila semua Institusi Pendidikan di bawah Mara menerima lebih 100 peratus permohonan pada tahun ini.
Kegembiraan beliau itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Selasa lalu dengan catatan
“Alhamdulillah, semua Institusi Pendidikan Mara baik GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Kolej Mara (KM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menerima lebih 100 peratus permohonan tahun ini.
“Harap jangan ada yang tolak, lebih-lebih lagi atas alasan kewangan,” katanya.
Susulan muat naik Asyraf Wajdi di Facebook, warga maya mula membanjiri ruangan komen dan memberikan pandangan.
“Saya keluarga Mara. Tiga anak belajar di bawah kumpulan Mara iaitu KPM, GMI dan IKM,” tulis Azrin Hariz.
“Hasil dari penerangan yang tepat, betul dan konsisten. Tahniah Mara,” kata Azmir Ramli.
“Alhamdulillah, anak daftar 22/7 di KKTM Lenggong, Perak,” ujar Sabrina Ishak.
“Terbaik Dr. Dulu kurang penerangan dan pendedahan tentang perkara ini. Tetapi bila ramai tahu banyak peluang yang diberi oleh Mara dan bantuan yang disediakan, makin ramai terbuka hati untuk memohon. Terima kasih Mara,” catat Ahmad Isa.
“Alhamdulillah, anak saya pilih dan daftar Unikl MICET Diploma Chemical Engineering walaupun dapat tawaran tempat lain,” beritahu Wan Mohd Najib Wan Ahmad.
“Terima kasih datuk kerana sentiasa membuka minda masyarakat tentang kemudahan yang disediakan Mara untuk institusi di bawahnya,” maklum Iman Salim.
“Alhamdulillah, anak saya akan mendaftar pada 25/7 di KPM Beranang,” menurut Habsah Mokhtar.