Permohonan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan dibuka 13 Ogos
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda untuk mengikuti Latihan Praperkhidmatan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) Tahun 2024.
Menerusi hantaran KPM di Facebook pada Isnin, graduan yang berkelayakan, berpotensi dan berminat, mereka boleh membuat permohonan pada 13 Ogos hingga 19 Ogos ini.
"Syarat permohonan, mereka (graduan) perlu memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda dari mana-mana universiti awam dan universiti swasta di Malaysia dalam bidang yang ditetapkan serta diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
"Mod program adalah sepenuh masa dan tempoh pengajian setahun (tiga semester).
"Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://mypdpp.moe.gov.my/PD,” catat KPM.
PDPP adalah inisiatif KPM bertujuan melatih graduan Ijazah Sarjana Muda tanpa latar belakang pendidikan untuk menjadi guru.
Program ini dijalankan sepenuhnya secara bersemuka di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang terpilih di seluruh negara dan berlangsung selama setahun atau tiga semester di IPG yang ditetapkan KPM.
PDPP dikhususkan untuk melatih bakal guru dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi keperluan di sekolah KPM.
Antara bidang pengkhususan yang ditawarkan termasuk Bahasa Melayu, Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Pendidikan Jasmani, Pendidikan Islam dan Pendidikan Pemulihan.
Ia disesuaikan untuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).