
Permohonan program TVET ambilan Julai 2025 kini dibuka
Permohonan kemasukan ke program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi kursus sepenuh masa ambilan perdana Julai 2025 kini dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun depan.
Bagi yang berminat, mereka boleh membuat permohonan melalui platform UP_TVET di pautan https://mohon.tvet.gov.my
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UP_TVET ialah satu sistem permohonan berpusat (single window) yang dibangunkan sebagai inisiatif Kerajaan Madani untuk menyatukan akses kepada pelbagai institusi TVET awam dan swasta di seluruh negara.
"Sistem ini diwujudkan bukan sahaja untuk memudahkan proses permohonan, tetapi juga bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar relevan dan selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyeru semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu yang berminat membina kerjaya dalam bidang kemahiran merebut peluang dengan memohon kursus yang ditawarkan.
"TVET hari ini bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi landasan utama kepada kerjaya kukuh, bergaji kompetitif dan berpotensi tinggi dalam pelbagai sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).
"Bagi mereka yang perlukan fleksibiliti, saya turut menggalakkan untuk meneroka laluan UP_TVET Flexi, iaitu sebuah sistem modular yang membolehkan pembelajaran mengikut jadual dan keperluan individu yang telah dibuka sejak Januari 2025," katanya.