Persaraan Ahmad Rafee (tengah) cukup meninggalkan kesan mendalam dalam hati warga KPM dan semua yang mengenali beliau.
Persaraan Ahmad Rafee (tengah) cukup meninggalkan kesan mendalam dalam hati warga KPM dan semua yang mengenali beliau.

Persaraan Ahmad Rafee undang sebak!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Jul 2024 03:23pm
A
A
A

“Pegawai datang dan pergi. Memang itu aturannya. Itu kata orang.

“Tetapi tidak untuk Dr Rafee. Kehilangan beliau memang sukar dicari ganti.”

Demikian catatan menyentuh hati Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim yang baharu sahaja bersara Jumaat lalu.

Tulisan Fadhlina yang dipetik menerusi laman Facebooknya turut memaklumkan, beliau (Ahmad Rafee atau Dr Rafee) merupakan individu yang sentiasa dijadikan rujukan ketika diawal dirinya menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Saya rujuk untuk dasar dan beliau sentiasa memandu saya dengan hikmah.

“Kepakaran beliau khususnya di peringkat dasar, data dan penyelesaian isu menjadikannya 'The brain of KPM',” kata Fadhlina.

Fadhlina yang kelihatan sebak ketika hari clock out Ahmad Rafee memberitahu, persaraan tokoh ini adalah tanda kehilangan yang teramat.

“Saya bukan kehilangan seorang pegawai yang biasa-biasa, tetapi lebih daripada itu.

“Beliau seorang rakan seperjuangan yang sangat komited dalam dunia pendidikan. Sentiasa mendukung agenda pendidikan manusiawi dan sangat tegas mempertahankan dasar pendidikan untuk semua.

“Selamat bersara Dr Rafee yang dikasihi,” tulisnya lagi.

Sambung Fadhlina, dia merakam jutaan terima kasih kepada beliau atas segala khidmat kebaktian dalam dunia pendidikan.

Katanya, semoga ALLAH memberkati seluruh kehidupan, memberikan afiyah dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta.

Serangkap pantun daripada Fadhlina untuk Dr Rafee

Dua tiga kucing berlari

Manakan sama si kucing belang

Dua tiga pegawai boleh kami cari

Takkan sama dengan Dr Rafee seorang

No Image Caption

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata warga maya turut menitipkan doa, ucapan dan penghargaan kepada Ahmad Rafee sepanjang perkhidmatan beliau di KPM.

“Kehilangan seorang lagi World Bank Scholar daripada KPM. Happy Retirement Dr Rafee,” catat Razianna Abdul Rahman.

“Alhamdulillah, tahniah Dr Ahmad Rafee Che Kassim. Selamat bersara. Semoga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik. Terima kasih atas jasa dan khidmat bakti dalam dunia pendidikan. Terima kasih juga sentiasa menitip semangat dan inspirasi buat kami,” kata Khairuddin Ahmad.

“Setuju dengan pendapat YB Fadhlina Sidek, pemimpin datang dan pergi, namun tentunya tidak akan sama. Bersaranya Dr Ahmad Rafee adalah satu kehilangan besar warga KPM,” tulis Sue Haily.

“Inilah jauhari yang bernilai dalam dunia pendidikan. Selamat bersara Dr Ahmad Rafee,” menurut Nurul Hidayah.

“Selamat bersara Dr Ahmad Rafee. Terima kasih jadi pemimpin yang prihatin dan sentiasa memahami pemimpin bawahan. Tahniah sampai ke garis akhir perkhidmatan awam,” ujar Sulina Sandur.

“Dr memang seorang pegawai yang berilmu, berketrampilan, sentiasa menghebahkan, tegas dalam pelaksanaan dasar-dasar serta hala tuju KPM. Beliau juga seorang pegawai KPM yang mesra dengan kesatuan guru-guru di Malaysia dan setiasa memberi pandangan terbaik untuk kesatuan guru. Mudah dihubungi dan cepat memberi respon. Semoga tuan terus memberi pandangan untuk kemajuan pendidikan negara yang tercinta. Selamat bersara Dr, semoga sentiasa dalam rahmat ilahi,” catat Jasni Md Kechik.

No Image Caption

“Selamat bersara. Dunia pendidikan khususnya negara ini kehilangan seorang tokoh yang sangat berjasa dalam perkembangan pendidikan,” tutur Mohamad Amini Ali.

Sementara itu, Ahmad Rafee turut merakam ucapan terima kasih atas segala ucapan yang diberikan kepadanya.

“Terima kasih atas ingatan, ucapan dan doa untuk saya. Sesungguhnya saya telah melakukan yang terbaik yang saya boleh dan setakat ini sahaja kemampuan saya di KPM. Mungkin ALLAH dah susun untuk saya utamakan keluarga pula di samping meneruskan perjuangan melalui wadah yang berbeza. Semoga YB Fadhlina Sidek dan keluarga besar KPM akan dapat meneruskan perjuangan ini dan sentiasa dalam rahmat ALLAH. Maafkan saya," catat Ahmad Rafee.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok