Fadhlina
Fadhlina

Pertukaran guru ‘duka lara’ diberi keutamaan

11 Jul 2024 02:05pm

Kategori pasangan guru jarak jauh atau 'duka lara' diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam perkara pertukaran guru.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebanyak 45,336 atau 35 peratus permohonan pertukaran guru telah diluluskan bagi tempoh lapan tahun iaitu antara 2017 hingga Jun lalu, dengan keutamaannya kepada cikgu ‘duka lara’.

Katanya, kategori itu diberikan peratus kelulusan tertinggi berbanding faktor lain seperti kesihatan dan keselamatan.

"Data KPM menunjukkan sejak 2022 berlaku peningkatan kelulusan bagi pertukaran guru di seluruh negara.

"Kami (KPM) sentiasa memberi keutamaan kepada permohonan pertukaran kategori pasangan berjauhan.

"Sebanyak 41 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan pada 2022, 58 peratus bagi 2023 dan 34 peratus diluluskan sehingga Jun tahun ini," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai jumlah permohonan guru 'duka lara' sejak 2017 sehingga yang terkini.

Selain itu, Ahmad Johnie turut mengemukakan soalan tentang apakah perancangan KPM bagi menangani isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, prinsip asas pertukaran guru berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri atau daerah yang dimohon.

Malah, kepentingan dan keperluan perkhidmatan juga diambil kira dalam menguruskan pertukaran guru terutamanya yang mengajar subjek khusus atau memerlukan kelayakan khas.

"Kementerian yakin dengan penambahbaikan kaedah dan sistem pertukaran guru, proses pertukaran mereka dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

"Kami (KPM) akan memastikan kebajikan guru diberi keutamaan bagi mempertingkatkan produktiviti pendidikan negara tanpa menjejaskan pengajaran dan pembelajaran murid,” jelas beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp