Sebahagian murid mengikuti tuisyen percuma anjuran PKJPM.
Sebahagian murid mengikuti tuisyen percuma anjuran PKJPM.

PKJPM bantu murid B40 dengan tuisyen percuma

15 May 2024 07:00am

Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM) memperluaskan program tuisyen percuma anjurannya di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi PKJPM, Tan Lek Khang berkata, program itu yang memberi tumpuan terhadap murid B40 dari Tahun Satu hingga Enam hanya diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebelum ini.

"Bagi peringkat permulaan, mata pelajaran terlibat adalah Bahasa Melayu dan kita tidak menolak untuk menambah subjek teras lain sekiranya terdapat keperluan pada masa akan datang.

"Saya percaya jika membangunkan pendidikan anak-anak golongan kurang berkemampuan secara menyeluruh, kita mampu menangani masalah kemiskinan walaupun tidak sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Jamuan Aidilfitri PKJPM di Gelanggang Bola Keranjang Bekok, Labis, Johor pada malam Isnin.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Mentakab, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Lek Khang berkata, menerusi penganjuran sebelum ini kira-kira 200 murid SJKC di Cha'ah dan Bekok mendapat manfaat.

Artikel Berkaitan:

Murid yang mengikuti tuisyen percuma ini memberi tumpuan penuh ketika guru mengajar.
Murid yang mengikuti tuisyen percuma ini memberi tumpuan penuh ketika guru mengajar.

Beliau berharap, usaha murni PKJPM itu akan membuka mata pihak lain untuk sama-sama berganding bahu dengan pihaknya membantu golongan kurang berkemampuan.

"Bantuan bukan sahaja dalam bentuk barangan keperluan harian, malah apa yang lebih penting memastikan pembangunan pendidikan anak-anak mereka secara berterusan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini PKJPM aktif menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan dan kewangan kepada golongan memerlukan, namun semua itu bersifat penyelesaian jangka pendek sahaja.

"Kami sedar perlu ada pelan jangka panjang yang dapat membantu golongan kurang berkemampuan keluar daripada belenggu kemiskinan dan antara senjata paling ampuh menentang kemiskinan adalah pembangunan pendidikan dalam kalangan anak-anak mereka.

"Program kelas tambahan yang kami anjurkan ini merupakan salah satu usaha memastikan anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan mendapat peluang untuk berjaya dalam pelajaran seperti rakan mereka yang lain," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp