POLYCC siap sedia pelajar hadapi ledakan digital
Penguasaan terhadap kecerdasan buatan (AI) Internet of Things (IoT) dan Blockchain menjadi fokus utama bagi pemetaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara.
Menurut Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin, matlamat itu bertujuan memastikan POLYCC lebih dinamik dan kompetitif serta muncul sebagai institusi TVET yang berkualiti, inklusif dan saksama.
Katanya, fokus turut diberikan kepada penawaran Micro-Credentials dan penubuhan pusat Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) di Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).
Tambah beliau, POLYCC dengan konsep TVET for ALL akan terus direncana secara radikal dan kolektif dalam ekosistem TVET Malaysia.
“Berdasarkan penawaran Unit Pusat Universiti (UPU) 2024/2025, hampir 32,000 pelajar baharu telah diterima untuk mendaftar pada sesi kemasukan kali ini dan jumlah ini merupakan sejarah besar buat jabatan.
“Malah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) sentiasa mendapat sambutan di luar jangka. Sehingga kini, penyertaan PSH adalah tiga juta dengan setiap tahun berjaya mencapai sasaran hampir 200,000 penyertaan," katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen PSA ke-25, pada Sabtu.
Menurut Mohd Noor, pihaknya turut memastikan semua program ditawarkan di 36 buah politeknik dan 106 kolej komuniti mendapat akreditasi dan pengiktirafan badan professional seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) dan Majlis Akreditasi Teknologi Kejuteraan (ETAC).
Malah katanya, politeknik juga telah mendapat pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Platinum dari Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) dan menjadi institusi pertama diberi kelulusan menggunakan logo International Engineering Alliance (IEA) - Sydney Accord dan Dublin Accord oleh Lembaga Jurutera Malaysia bagi sijil kejuruteraan.
Sementara itu, Pengarah PSA, Zainah Rujihan berkata, seramai 43,572 graduan pelbagai bidang berjaya dilahirkan sejak penubuhan politeknik itu pada tahun 1997.
“Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 833 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil dengan 12 daripadanya graduan Sijil Kemahiran Penyenggaran Mekanikal yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran dan tujuh lagi graduan techno-huffaz yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran.
“Turut menerima sijil 12 graduan Sijil Kejuruteraan Elektrik di bawah Program PSH Kursus Terlanggan. Kursus ini merupakan kerjasama antara PSA dan Elektrisola (M) Sdn Bhd bagi tujuan meningkatkan pembangunan kerjaya staf melalui program reskilling dan upskilling,” katanya.